KOTA TINGGI: Seorang kanak-kanak perempuan maut dalam kemalangan membabitkan sebuah Toyota Hilux dan Perodua Myvi berhampiran Lembaga Getah Malaysia, Jalan Kota Tinggi-Mawai, di sini hari ini.
Mangsa, Elbina Scavia A/P Mazian, 3, yang menaiki kenderaan Perodua Myvi disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat mengalami cedera parah.
Dua lagi mangsa, iaitu bapanya, Mazian Majid, 23, dan isteri, Suzenatsha A/P Aris mengalami kecederaan.
Difahamkan, kereta yang dinaiki keluarga Orang Asli itu dalam perjalanan dari Mersing ke Kota Tinggi, manakala Toyota Hilux dari arah Kota Tinggi menghala ke Mersing.
Komander Operasi Balai Bomba Penyelamat Kota Tinggi, Pegawai Bomba Kanan II KUP Mohd. Salleh
Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian itu pada pukul 4.47 petang dan seramai lapan anggota ke lokasi kejadian.
“Terdapat empat mangsa di dalam Toyota Hilux mengalami kecederaan manakala mangsa di dalam Perodua Myvi, iaitu seorang lelaki dewasa mengalami kecederaan, seorang perempuan dewasa tersepit dan dikeluarkan anggota dengan menggunakan peralatan khas.
“Seorang kanak-kanak perempuan di dalam kenderaan tersebut telah disahkan maut oleh pasukan perubatan.
“Kesemua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Kota tinggi menaiki ambulans dan mangsa maut diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya yang memaklumkan operasi ditamatkan pukul 7.20 petang. – UTUSAN