PETALING JAYA : Keadaan anak bongsu kepada lelaki warga Myanmar yang dicampak dari jejambat Lebuh raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) berketinggian 20 meter minggu lalu dilaporkan stabil.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, kanak-kanak berusia tiga tahun itu telah keluar dari menerima rawatan di ke Unit Rawatan Rapi (ICU) sebelum dipindahkan ke wad kanak-kanak untuk pemerhatian.
Kata beliau, keterangan kanak-kanak itu akan diambil bagi melengkapkan siasatan.
“Selepas itu, kertas siasatan berkenaan akan dirujuk Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Pada 2 Ogos lalu, seorang bapa bertindak kejam apabila mencampak tiga anaknya dari jejambat Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) berketinggian 20 meter.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.50 pagi semalam, dua kanak-kanak maut manakala seorang lagi parah selepas dicampak lelaki warga Myanmar.
Susulan tindakan itu, lelaki berkenaan kemudian turut terjun dari jajambat sama sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Berdasarkan kenyataan saksi, lelaki berusia 38 tahun terbabit dilihat berjalan sambil menggendong seorang kanak-kanak, manakala dua lagi kanak-kanak dipegang di tangan kanan dan kirinya.
Saksi kemudiannya cuba menghampiri lelaki berkenaan namun secara tiba-tiba lelaki itu terus mencampakkan kanak-kanak yang dikendong dan dipimpinnya dari jejambat MRR2.
Kesemua mangsa ditemukan terbaring di tepi jalan raya berhampiran lampu isyarat di Desa Jaya.
Lelaki dan dua orang kanak-kanak Myanmar berkenaan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang kanak-kanak yang parah dibawa ke Hospital Selayang untuk mendapatkan rawatan memandangkan keadaan mangsa yang sangat kritikal.
Hasil pemeriksaan oleh pegawai perubatan mendapati mangsa mengalami kecederaan dalaman di perut dan juga keretakan pada rusuk kiri mereka.- UTUSAN










