Kabinet Sabah setuju bentang RUU Anti Lompat Parti

Kabinet Sabah setuju bentang RUU Anti Lompat Parti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri akan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti pada persidangan khas Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam masa terdekat.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Kabinet telah bersetuju untuk membawa perkara itu ke persidangan DUN selepas Dewan Rakyat meluluskan pindaan perlembagaan yang menghalang wakil rakyat bertukar parti.

Beliau berkata, langkah itu sejajar komitmen kerajaan negeri untuk mewujudkan kestabilan politik di Sabah setelah sekian lama berdepan keadaan politik yang tidak menentu.

“Kita menyokong anti lompat parti dan kita akan bentangkan di DUN tidak lama lagi. Apa yang berlaku dulu itu, dululah, sekarang kita mahukan kestabilan politik di Sabah.

“Kabinet sudah bersetuju untuk membawa pindaan perlembagaan bagi mewujudkan anti Lompat parti pada persidangan khas DUN agar kita boleh tidur lena.

“Tidak lagi kena jaga sana sini, lompat sana sini. Apa yang lepas cukuplah, kita mahu kestabilan politik,” katanya semasa pelancaran program jelajah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Parlimen Keningau, hari ini.

Itu merupakan jelajah pertama GRS selepas dilancarkan pada Mei lalu dan ia turut dihadiri pemimpin tertinggi parti komponen GRS daripada Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO).

Pengerusi GRS itu berkata, Sabah tidak mahu ketinggalan untuk mewujudkan undang-undang anti lompat parti sendiri selepas RUU Anti Lompat Parti diluluskan di Parlimen.

“Tidak payahlah kita lompat-lompat (parti) lagi,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, satu lagi pencapaian kerajaan Negeri adalah penyerahan kuasa kawal selia tenaga elektrik dan bekalan gas daripada kerajaan Persekutuan yang dijangka diserahkan selewat-lewatnya pada tahun depan.

Hajiji berkata, agensi-agensi berkaitan dalam kerajaan Persekutuan dan kerajaan Negeri sedang membuat tindakan susulan untuk persiapan dari aspek teknikal dan perundangan kerana penyerahan kuasa itu melibatkan proses perundangan di kedua-dua peringkat iaitu Parlimen dan DUN Sabah.

Katanya, sebagai persiapan kerajaan Negeri akan menubuhkan Suruhanjaya Tenaga Negeri Sabah.

Dalam pada itu, beliau berkata, GRS turut mengalu-alukan penyertaan parti-parti tempatan yang berhasrat menyertai gabungan itu.

“GRS adalah jajaran politik baharu yang menyatu-padukan pemimpin dan parti-parti tempatan untuk bersama-sama membangun Sabah selaras dengan aspirasi dan mandat rakyat.

“Sudah sampai masanya rakyat Sabah menentukan masa depan negeri melalui GRS. Kita perlu bersatu demi kepentingan rakyat dan negeri Sabah”, katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya