Turkiye jadi tuan rumah usaha diplomatik terbaharu tamatkan perang Asia Barat

Turkiye jadi tuan rumah usaha diplomatik terbaharu tamatkan perang Asia Barat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ANTALYA: Turkiye menjadi tuan rumah forum diplomatik berprofil tinggi yang menghimpunkan menteri luar Pakistan, Arab Saudi dan Mesir, ketika Iran mengumumkan pembukaan Selat Hormuz dan Islamabad mempergiat usaha untuk membantu menamatkan perang di Asia Barat.

Presiden, Recep Tayyip Erdogan berkata, jalan paling singkat ke arah keamanan adalah melalui dialog dan diplomasi.

“Saya percaya ruang peluang yang dibuka oleh gencatan senjata perlu dimanfaatkan sebaik mungkin untuk mewujudkan keamanan berkekalan.

“Walau sedalam mana pun perbezaan, kita tidak boleh membiarkan kata-kata sekali lagi digantikan dengan senjata.

“Jalan paling cepat menuju keamanan ialah dialog membina dan diplomasi,” katanya ketika merasmikan Forum Diplomasi Antalya selama tiga hari di pusat peranginan Mediterranean itu.

Menteri luar Turkiye, Pakistan, Arab Saudi dan Mesir kemudian mengadakan pertemuan pada Jumaat di luar acara forum, beberapa jam selepas Teheran mengumumkan pembukaan Selat Hormuz kepada kapal komersial.

Gambar yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar Turkiye menunjukkan keempat-empat menteri luar itu bertemu dalam suasana diplomatik.

Pakistan berusaha meletakkan dirinya sebagai pengantara utama serantau selepas menjadi tuan rumah rundingan jarang berlaku antara Iran dan Amerika Syarikat (AS) hujung minggu lalu, yang berakhir tanpa sebarang kemajuan besar.

Rumah Putih berkata, rundingan lanjut dengan Iran kemungkinan besar akan diadakan di Islamabad, lokasi Naib Presiden, JD Vance mengetuai delegasi AS dalam pusingan rundingan sebelumnya.

Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif, yang bertemu pemerintah Qatar di Doha pada Khamis sebagai sebahagian lawatan serantau, menghadiri pembukaan forum Antalya dan turut bertemu Erdogan di luar acara itu pada Jumaat.

“Kami akan terus memberikan segala sokongan yang mampu bagi memastikan gencatan senjata sementara yang sedang berlangsung agar ia dapat dikekalkan,” kata sumber Kementerian Pertahanan Turkiye pada Khamis.

Sumber itu menambah Ankara berharap perang yang kesannya semakin dirasai bukan sahaja di peringkat serantau tetapi juga global dapat ditamatkan dengan segera melalui penglibatan semua pihak dalam rundingan secara konstruktif.

Turkiye, pengkritik lantang Israel, turut menyertai usaha diplomatik bersama Mesir dan Pakistan untuk membantu mencapai gencatan senjata dalam konflik tersebut, sambil menegaskan bahawa gencatan itu juga perlu meliputi Lubnan.

Erdogan tidak mengulas secara langsung mengenai gencatan senjata terbaharu antara Israel dan Lubnan, namun memberi amaran terhadap sebarang usaha menggagalkan rundingan.

“Kita mesti bersedia dan berwaspada terhadap usaha Israel untuk mensabotaj proses rundingan,” katanya.

Menyentuh mengenai Selat Hormuz, Erdogan berkata, akses ke laluan itu tidak seharusnya disekat. Kenyataan itu dibuat beberapa ketika sebelum pengumuman Iran.

“Satu bahagian Hormuz adalah Iran, manakala satu lagi adalah Oman. Hak negara-negara Teluk untuk mengakses laut terbuka tidak boleh disekat,” katanya sambil menyeru kebebasan pelayaran berdasarkan peraturan yang ditetapkan dan agar selat itu kekal dibuka kepada kapal komersial.

Lebih 150 negara mengambil bahagian dalam perhimpunan tersebut, termasuk lebih 20 ketua negara dan kerajaan.

Antara yang hadir ialah Presiden Syria, Ahmed al-Sharaa dan Menteri Luar Russia, Sergei Lavrov.

Dalam kenyataan awal pada Jumaat, Sharaa berkata, beliau boleh mempertimbangkan rundingan jangka panjang dengan Israel mengenai wilayah Golan yang dipertikaikan sekiranya Israel bersetuju berundur dari wilayah Syria yang diduduki baru-baru ini.

Sejak kejatuhan bekas Presiden Syria, Bashar al-Assad pada Disember 2024, Israel telah menempatkan tenteranya di zon penampan yang dipantau Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), yang selama beberapa dekad memisahkan pasukan Israel dan Syria di Bukit Golan.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×