JOHOR BAHRU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengesan sebanyak 31 kes melibatkan kenderaan berpendaftaran asing mengisi RON95 sejak 1 April lalu.
Ketua Pengarahnya, Datuk Azman Adam berkata, jurang harga RON95 yang jauh lebih rendah berbanding di negara asal menjadi punca penyalahgunaan minyak bersubsidi itu oleh pemilik kenderaan asing yang masuk ke negara ini.
Katanya, ada juga pemilik kenderaan pendaftaran asing memberi alasan tidak tahu stesen minyak yang menjual RON97 ketika ditahan mengisi minyak RON95.
“Berkuat kuasa pada 1 April lalu, KPDN telah menguatkuasakan sepenuhnya larangan penjualan dan pembelian petrol RON95 oleh kenderaan berpendaftaran asing. Penguatkuasaan hukuman boleh dikenakan terhadap pemilik kenderaan terbabit.
“Dalam keadaan geopolitik sekarang, kita perlu memastikan kecukupan bekalan terutamanya RON95 yang diperuntukkan kepada warganegara Malaysia sahaja,” katanya kepada pemberita selepas menyertai operasi Penguatkuasaan VEP bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di susur keluar Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di sini malam tadi.
Sementara itu, beliau memberitahu terdapat beberapa syarikat minyak sedang dalam proses konfigurasi sistem masing-masing susulan langkah KPDN menghalang penggunaan kad kredit dan kad debit asing di terminal pam minyak layan diri seluruh negara.
“Kita akan terus pantau perkara ini bagi memastikan tiada ruang kenderaan asing untuk mendapatkan bekalan secara tidak sah di negara kita,” katanya. – UTUSAN










