KUALA LUMPUR: Kumpulan hip hop tempatan, K.O.I, menjelaskan, karya mereka bukan bertujuan menyindir mana-mana pihak, sebaliknya lebih menjurus kepada penyampaian mesej moral serta solidariti terhadap isu kemanusiaan semasa.
Menurut wakil kumpulan itu, lagu Tiwi Karma yang sebelum ini mencetuskan pelbagai polemik dalam kalangan pendengar sebenarnya dihasilkan sebagai tanda solidariti terhadap penderitaan rakyat Palestin, khususnya di Gaza.
“Lagu Tiwi Karma itu kami hasilkan atas dasar solidariti. Ia adalah luahan sokongan terhadap apa yang berlaku di Palestin, khususnya di Gaza. Jadi, ia bukanlah seperti tanggapan segelintir pihak yang mengaitkannya dengan sindiran terhadap kerajaan atau agenda politik tertentu,” kata Achoi mewakili kumpulan.
Tambah Achoi, penggunaan bahasa kiasan dalam penulisan lirik menjadi antara faktor utama yang membuka ruang kepada pelbagai tafsiran dalam kalangan pendengar.
“Kami memang banyak menggunakan bahasa berkias dalam lirik. Jadi apabila pendengar mendengar, mereka akan mentafsir berdasarkan sudut pandang masing-masing. Kadang-kadang apa yang mereka faham itu berbeza daripada apa yang kami cuba sampaikan, namun itulah sifat seni, ia terbuka kepada interpretasi,” katanya.
Dalam masa sama, K.O.I tidak menafikan bahawa karya mereka sering menyentuh isu semasa, namun menegaskan bahawa fokus utama tetap kepada nilai moral, bukan propaganda politik.
“Kalau diikutkan, kami tidak pernah meletakkan diri sebagai kumpulan berhaluan politik. Lagu-lagu kami lebih kepada menyampaikan mesej moral tentang apa yang baik dan apa yang perlu dielakkan. Kami mahu pendengar berfikir dan mengambil pengajaran daripada lirik yang disampaikan.
“Ada ketika, apabila kami membaca ulasan atau tafsiran daripada pendengar, kami sendiri terkejut bagaimana mereka boleh menghuraikan lirik kami dengan begitu mendalam. Ada yang mengaitkan dengan pelbagai sudut yang tidak pernah kami fikirkan. Namun, ada juga tafsiran yang logik dan membuka perspektif baharu,” katanya.
Dari segi arah muzik, K.O.I memilih untuk tidak terikat kepada satu genre semata-mata, sebaliknya menampilkan gabungan pelbagai elemen termasuk hip hop, sosial dan muzik tradisional.
“Kami melihat muzik kami sebagai satu bentuk gabungan atau ‘fusion’. Asasnya hip hop, tetapi kami selitkan elemen lain termasuk bunyi tradisional. Itu yang membentuk identiti kami.
“Kami tidak terlalu memikirkan soal mainstream. Bagi kami, yang penting adalah kebebasan untuk berkarya tanpa terikat dengan formula tertentu. Kami mahu bereksperimen dan menghasilkan muzik yang memberi kepuasan kepada diri sendiri,” katanya.
Dalam perkembangan lain, kumpulan itu turut meluahkan rasa syukur apabila salah satu karya mereka berjaya mara ke peringkat separuh akhir Anugerah Juara Lagu (AJL).
“Alhamdulillah, kami bersyukur apabila lagu tersebut berjaya menembusi peringkat separuh akhir. Itu sudah satu pencapaian besar bagi kami. Apa yang penting, kami hanya lakukan yang terbaik tanpa meletakkan harapan terlalu tinggi.
“Kami tidak mahu terlalu bergantung kepada harapan kerana bimbang akan memberi tekanan. Apa yang lebih utama, kami berkarya kerana minat dan passion. Itu yang menjadi asas kepada perjalanan kami dalam industri muzik,” katanya.










