Keputusan Malaysia menguatkuasakan larangan pembukaan akaun media sosial bagi individu berusia bawah 16 tahun mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat.
Ada yang menyambut baik langkah tersebut sebagai usaha melindungi kanak-kanak daripada ancaman dunia digital, namun tidak kurang juga yang mempersoalkan sejauh mana keberkesanannya dalam era teknologi yang semakin sukar dikawal.
Hakikatnya, media sosial kini menjadi sebahagian daripada kehidupan harian golongan muda. Platform seperti TikTok, Instagram dan Facebook bukan sahaja digunakan untuk hiburan, malah menjadi medium pembelajaran, komunikasi dan mendapatkan maklumat.
Namun, pendedahan terlalu awal kepada media sosial turut membawa risiko seperti buli siber, penipuan dalam talian, gangguan seksual, ketagihan gajet serta masalah kesihatan mental.
Melalui larangan tersebut, syarikat media sosial dijangka memperketatkan proses pengesahan umur pengguna bagi memastikan individu bawah 16 tahun tidak dapat membuka akaun secara bebas.
Namun, cabaran sebenar bukan terletak pada teknologi semata-mata, sebaliknya pada tahap kesediaan ibu bapa sendiri. Persoalannya, adakah ibu bapa di Malaysia benar-benar bersedia untuk memantau aktiviti digital anak-anak mereka?
Ramai ibu bapa masih menggunakan telefon pintar atau tablet sebagai alat untuk menenangkan anak-anak tanpa pemantauan yang mencukupi. Malah, terdapat juga ibu bapa yang kurang memahami tetapan keselamatan digital, kawalan dan risiko yang wujud dalam dunia maya.
Dalam situasi sebegini, larangan semata-mata mungkin tidak mencukupi tanpa pendidikan digital yang menyeluruh kepada keluarga.
Sekiranya garis panduan itu tidak dipatuhi, kemungkinan besar akan wujud akaun yang didaftarkan menggunakan identiti atau umur palsu.
Keadaan ini boleh menyebabkan usaha kerajaan menjadi kurang berkesan dan membuka ruang kepada kanak-kanak untuk terus terdedah kepada kandungan yang tidak sesuai.
Sebaliknya, jika pelaksanaan dilakukan secara menyeluruh dengan kerjasama ibu bapa, sekolah, syarikat teknologi dan kerajaan, langkah tersebut berpotensi mewujudkan persekitaran digital yang lebih selamat untuk generasi muda.
Kanak-kanak juga dapat diberi masa yang lebih panjang untuk membina kemahiran sosial, emosi dan akademik tanpa tekanan berlebihan daripada dunia media sosial.
Kejayaan dasar ini bukan bergantung kepada undang-undang semata-mata. Ia memerlukan perubahan budaya dalam masyarakat, khususnya dalam kalangan ibu bapa yang memainkan peranan paling penting sebagai penjaga dan pembimbing anak-anak di alam digital.
Adlinahani Khalil ialah Pengarang Berita Gaya Utusan Malaysia.










