KUALA LUMPUR: Beberapa peruntukan enakmen pentadbiran agama Islam di tujuh buah negeri berhubung penukaran agama kanak-kanak secara unilateral (sama ada ibu atau bapa beragama Islam) masih sah.
Ia selepas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Aliza Sulaiman (yang bersidang sebagai Hakim Mahkamah Tinggi) memutuskan bahawa guru tadika, M. Indira Gandhi dan 13 yang lain tidak mempunyai hak di sisi undang-undang (locus standi) untuk memulakan tindakan tersebut.
Selain Indira, turut menjadi plaintif ialah Pertubuhan Agamam Ani; bekas pengerusi Malaysia Hindu Sangam dan Malaysian Consultative Council of Buddhism, Christianity, Hinduism, Sikhism and Taoism (MCCBCHST), S. Mohan dan Pengerusi Indira Gandhi Action Team (INGAT), D. Arumugam serta 10 individu yang mendakwa mereka adalah `mangsa’ akibat penukaran agama secara unilateral.
Mereka mencabar enakmen pentadbiran di Perlis, Kedah, Melaka, Perak, Johor, Negeri Sembilan dan Wilayah Persekutuan yang mana kerajaan negeri-negeri itu dinamakan sebagai defendan.
Enakmen-enakmen yang dicabar ialah Seksyen 117 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perlis) 2006; Seksyen 80 Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam (Kedah Darul Aman) 2008; Seksyen 105 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Melaka) 2002 dan Seksyen 117 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri
Sembilan) 2003.
Turut dipertikaikan ialah Seksyen 106 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004; Seksyen 117 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Johor) 2003 dan Seksyen 95 Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah- Wilayah Persekutuan) 1993.
Ujar Hakim Aliza, kesemua plaintif gagal membuktikan bahawa mereka mempunyai kepentingan yang nyata atau tulen atau mempunyai sedikit kepentingan untuk mendapatkan deklarasi yang dipohon.
“Plaintif pertama (Indira) tidak memfailkan sebarang afidavit menerangkan atau menunjukkan bagaimana kepentingannya akan terjejas jika relif yang dimohon tidak diberikan. Segala rungutannya telah diputuskan di peringkat Mahkamah Persekutuan dan kepentingannya dalam permohonan ini telah menjadi akademik.
“Plaintif kedua hingga keempat tidak mengemukakan sebarang afidavit bahawa mereka adalah pemegang jawatan atau wakil kepada kumpulan agama atau masyarakat yang mereka dakwa wakili serta telah diberikan kuasa untuk memulakan tindakan ini.
“Tiada juga bukti bahawa plaintif keenam hingga ke ke-12, mempunyai anak yang masih di bawah umur yang mungkin terjejas oleh mana-mana peruntukan yang dicabar. Kepentingan mereka dalam perkara ini hanyalah bersifat hipotesis atau akademik.
“Tambahan pula, plaintif keenam dan kelapan masing-masing hanya mempunyai alamat kediaman di Kedah dan Negeri Sembilan tetapi tidak pernah ditukarkan kepada agama Islam oleh mana-mana ibu bapanya. Oleh itu enakmen yang dipertikaikan di negeri itu tidak terpakai terhadapnya,” kata hakim itu.
Pada 29 Januari 2018, Mahkamah Persekutuan memutuskan pasangan yang telah memeluk Islam dan ingin menukar agama anak mereka yang masih bawah umur perlu mendapat kebenaran daripada pasangannya bukan beragama Islam.
Sementara itu, plaintif ke-13 dan 14 mendakwa mereka telah ditukar agama ketika kanak-kanak sebelum kes Indira Gandhi diputuskan pada 2018.
“Oleh kerana plaintif memohon deklarasi bahawa penukaran agama unilateral yang berlaku selepas keputusan Indira Gandhi adalah terbatal, (oleh itu) P13 dan P14 tidak mempunyai kepentingan dalam tuntutan tersebut kerana penukaran agama mereka berlaku sebelum keputusan itu.
“Tambahan pula, mereka tidak memohon untuk membatalkan atau mencabar penukaran agama mereka sendiri. Tiada juga bukti bahawa mereka mempunyai anak di bawah umur yang mungkin terjejas oleh peruntukan yang dicabar.
“Mahkamah (juga) bersetuju dengan hujahan defendan bahawa P13 dan P14 kini telah mencapai umur dewasa dan bebas untuk memohon keluar daripada agama Islam atau mengambil apa-apa tindakan yang difikirkan sesuai,”kata Hakim Aliza.
Menurut afidavit yang difailkan, plaintif menyatakan semua penukaran unilateral yang berlaku di Malaysia dari tarikh keputusan Indira adalah terbatal kerana melanggar Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan.
Menurut plaintif, dengan keputusan itu, sebarang penukaran kanak-kanak bawah umur kepada mana-mana agama secara unilateral tanpa kebenaran kedua-dua ibu bapanya adalah tidak berperlembagaan.
Oleh itu, plaintif antara lain memohon perisytiharan bahawa amalan penukaran agama secara unilateral adalah tidak berperlembagaan dan bertentangan Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan. – UTUSAN










