Harga pasaran dua lot tanah di Bandar Tanjung Pinang RM300 juta

Harga pasaran dua lot tanah di Bandar Tanjung Pinang RM300 juta

LIM GUAN ENG hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi perbicaraan kes rasuah terowong dasar laut Pulau Pinang. UTUSAN/MOHD. FIRDAUS MOHD. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes rasuah Lim Guan Eng di Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu, harga pasaran bagi dua lot tanah di Seksyen 1, Bandar Tanjung Pinang, Pulau Pinang yang dinilai di antara tahun 2013 dan 2016, mencecah RM300 juta.

Hartanah yang dinilai oleh sebuah syarikat swasta itu jauh lebih tinggi daripada nilai pasaran yang dicadangkan oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta Pulau Pinang iaitu mencecah RM80 juta bagi kedua-dua lot.

Tan Gaik Eng, 71, berkata, syarikatnya G.E Tan Valuers Sdn. Bhd. (GETVSB) membuat penilaian tersebut hasil permohonan yang dikemukakan oleh Ewein Land Sdn. Bhd. (ELSB).

ELSB dimiliki oleh Datuk Ewe Swee Kheng yang ditemukan maut selepas terjatuh dari sebuah kondominium mewah di Pulau Pinang sekitar Oktober 2021. Mendiang tersenarai sebagai saksi pendakwaan ke-15 perbicaraan itu.

Mahkamah sebelum ini diberitahu, Lot 702 itu kemudian ditambak untuk membangunkan projek `City of Dreams’ terletak di Tanjong Tokong.

Gaik Eng yang juga Pengarah GETVSB berkata, pihaknya mencadangkan harga pasaran bagi Lot 702 sebanyak RM135 juta manakala Lot 713 bernilai RM165 juta.

Saksi pendakwaan ke-29 itu berkata, penilaian tersebut dibuat berdasarkan beberapa justifikasi serta berpandukan kepada tiga geran melibatkan tiga lot tanah berbeza di Seksyen 12, Seksyen 4 dan Seksyen 11W Bandar Tanjung Pinang.

Gaik Eng menyatakan demikian ketika membacakan pernyataan saksi pada perbicaraan kes rasuah Guan Eng melibatkan projek terowong dasar laut dan jalan utama di Pulau Pinang.

Menurut penilai berdaftar itu, sekitar Jun 2013, syarikatnya menerima panggilan telefon daripada ELSB (dimiliki oleh Ewein Berhad) yang memintanya menilai hartanah di Lot 702.

Ujar saksi, beliau bersama pekerja kemudian berkunjung ke lokasi tersebut untuk merakam gambar dan keluasan tanah untuk membuat penilaian selain menggunakan pelan yang dibeli daripada Jabatan Ukur dan Pemetaan Pulau Pinang.

Menurut Gaik Eng, syarikatnya juga membuat penilaian tanah menggunakan panduan daripada agensi kerajaan lain seperti Pejabat Tanah dan Galian Pulau Pinang serta Unit Perancangan Bandar dan Desa Pulau Pinang.

Jelas beliau, GETVSB kemudian membuat pelarasan harga dari segi lokasi tanah, bentuk, saiz, perancangan terhadap tanah, plot ratio, pemandangan sama ada berhadapan laut atau sebaliknya dan faktor muka bumi.

Ujarnya, bahagian terakhir sebelum nilaian tanah dibuat adalah mengenai harga pasaran di sekitar radius tanah yang hendak dibuat penilaian.

Saksi berkata, setelah kesemua perkara tersebut diambil kira, barulah syarikatnya menghitung harga pasaran atau nilai tanah tersebut.

Ujar beliau, pihak Ewein Berhad tidak pernah membincangkan dengan syarikatnya perkara-perkara berkaitan penentuan harga bagi kedua-dua lot tersebut.

“Saya tidak tahu apa-apa berkaitan iklan pembinaan yang bakal di bina di atas tanah lot 702 dan lot 713 kerana pada masa itu, penilaian hanya dibuat berdasarkan keadaan tanah yang berstatus tanah komersial,” ujarnya.

Menurut beliau, GETVSB membuat penilaian dengan melihat pasaran hartanah semasa dalam membuat penilaian kedua-dua lot tanah ini kerana kawasan persekitarannya telah dibangunkan dengan kediaman dan komersial.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung 29 September ini bagi membolehkan pegawai forensik dipanggil mengesahkan telefon bimbit milik ahli perniagaan, G. Gnanaraja.

Mahkamah sepatutnya menyambung sesi soal balas terhadap ahli perniagaan, Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli. Namun saksi utama pendakwaan itu yang mengadu tidak sihat semalam, tidak hadir hari ini selepas diberi cuti sakit selama empat hari oleh doktor yang merawatnya.

Bekas Ketua Menteri itu didakwa atas pertuduhan pindaan menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang RM3.3 juta sebagai tindakan membantu syarikat milik Zarul Ahmad dilantik melaksanakan projek terowong dasar laut dan jalan utama di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion.

Zarul Ahmad ketika itu merupakan Pengarah Consortium Zenith Beijing Urban Construction Group Sdn. Bhd. (CZBUCG).

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di antara bulan Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, KOMTAR.

Dia didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Selain itu, beliau didakwa terhadap tuduhan pindaan meminta suapan iaitu balasan berharga berupa 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh Zarul Ahmad sebagai upah membantu syarikat miliknya dilantik melaksanakan projek itu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di antara pukul 12.30 pagi dan 2 pagi, pada bulan Mac 2011 berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini.

Ahli Parlimen Bagan itu turut didakwa atas dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di sana. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya