Habib Shah Firdaus dakwa imam Mahdi muncul hari Arafah

Dakwa imam Mahdi muncul pada hari Arafah lalu, punca Habib Shah Firdaus disiasat

PENGUAT KUASA Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan mengambil tindakan menutup pusat pengamalan Tarekat al-Naqsyabandiah al-Khalidiyyah pimpinan Tuan Habib Shah Firdaus Habib Ahmad yang berpusat di Kampung Jawa, Labu di Seremban berkuat kuasa 3 Ogos lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Pemimpin Tarekat al-Naqsyabandiah al-Khalidiyyah di Kampung Jawa, Labu di sini, Habib Shah Firdaus Habih Ahmad dikatakan telah menyeleweng daripada hukum syarak termasuk mempercayai akan berlaku kemunculan imam Mahdi pada hari Arafah lalu.

Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan, Datuk Mohd. Yusof Ahmad berkata, hasil maklumat diperoleh pihaknya, Habib Shah Firdaus kini dipercayai berada di Arab Saudi sejak bulan Mac lalu bersama ratusan pengikutnya bagi menantikan satu ‘peristiwa besar’ iaitu kemunculan imam Mahdi.

Jelas beliau, pemimpin tarekat itu pada awalnya bersama kira-kira 300 orang pengikutnya dari seluruh negara ke Arab Saudi untuk mengerjakan umrah di sana.

“Di mana mereka tinggal di sana pun kami tidak tahu, kemudian ada dalam kalangan pengikutnya mendapati ada perbuatan dilakukan Habib Shah Firdaus yang tidak betul dan akhirnya mereka pulang ke Malaysia. Kemudian mereka datang dan membuat laporan kepada pihak Jabatan Mufti Negeri Sembilan.

“Antara maklumat yang kami peroleh, Habib Shah Firdaus dikatakan mahu menunggu Hari Arafah iaitu dakwanya satu peristiwa akan berlaku, seolah-olah imam Mahdi akan muncul dan dia mahu menjadi pengikut imam Mahdi, mahu berbaiat dengan imam Mahdi.

“Tiba pada hari Arafah tiada apa-apa yang berlaku, jadi lagi ramai pengikutnya yang pulang ke Malaysia tetapi masih ada lagi kira-kira lebih seratus orang di sana dan tidak mahu pulang,” katanya ketika ditemui pemberita di sini semalam.

Kelmarin, media melaporkan pusat pengamalan Tarekat al-Naqsyabandiah al-Khalidiyyah pimpinan Habib Shah Firdaus Habib Ahmad yang berpusat di Kampung Jawa, Labu di sini ditutup berkuat kuasa 3 Ogos lalu.

Mohd. Yusof berkata, penutupan pusat itu bagi tempoh enam bulan dibuat agar siasatan lanjut dapat dilakukan sebelum Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan membuat keputusan, sama ada untuk membatalkan atau tidak pendaftaran tarekat tersebut. 

Jelas beliau, pada awal Julai lalu, pihaknya telah menerima aduan tentang tarekat yang dipimpin oleh Habib Shah Firdaus telah melakukan perbuatan, perkara atau amalan yang bercanggah dengan hukum syarak serta pengamalan tarekat tasawuf seperti mana direkodkan dalam daftar di bawah perenggan 11(1)(h), Enakmen Tarekat Tasawuf (Negeri Sembilan) 2005.

Sementara itu, Mohd. Yusof berkata, antara perkara yang menyebabkan sebahagian pengikut Habib Shah Firdaus hilang kepercayaan kepadanya semasa di Arab Saudi adalah amalannya yang melakukan tiga kali sujud ketika solat dengan sujud yang terakhir dia dikatakan mengucup sejadah.

“Selepas sujud dua kali, sepatutnya kita bangun, tetapi dia sujud sekali lagi dan melakukan perbuatan mengucup sejadah, itu diberitahu oleh pengikutnya yang telah pun tidak bersamanya lagi,” katanya.

Beliau menambah, selepas tiada apa-apa yang berlaku semasa Hari Arafah lalu, Habib Shah Firdaus bersama pengikutnya yang masih tinggal kini menunggu tarikh 10 Muharam bagi menantikan ‘peristiwa’ yang sama.

“Ada ahli tarekat lain yang bukan di bawah pimpinannya ketika mengerjakan haji baru-baru ini ada ternampak Habib Shah Firdaus dan telah memujuknya untuk pulang ke Malaysia tetapi dia enggan dan berkeras untuk terus berada di sana.

“Dalam tempoh enam bulan ini, kami akan buat siasatan, kami juga ada berhubung dengan pihak Konsulat Malaysia di Jeddah, sebab pihak konsulat pasti tahu di mana dia berada. Saya yakin kerajaan jika mahu tahan dia pun boleh iaitu hasil kerjasama dengan pihak berkuasa di sana tetapi setakat ini kami masih tunggu dan melihat apa yang dia mahu buat pada 10 Muharam (8 Ogos) ini,” katanya.

Mohd. Yusof menambah lagi, pihaknya dimaklumkan, ada dalam kalangan pengikut Habib Shah Firdaus yang ketika ini bersamanya di Arab Saudi mahu pulang ke Malaysia namun sudah kehabisan wang.

Dalam pada itu, belau menjelaskan, sebelum ini tiada apa-apa isu melibatkan Habib Shah Firdaus malah tarekat pimpinannya juga telah berdaftar di bawah Enakmen Tarekat Tasawuf (Negeri Sembilan) 2005 pada 13 Ogos 2018.

“Kami juga tidak menyangka, orang yang diberi kepercayaan untuk memimpin tarekat itu boleh jauh menyeleweng seperti itu. Dia juga selalu datang ke Jabatan Mufti dan berbual-bual dengan pegawai kami.

“Dia juga ada menyebut tentang imam Mahdi malah pernah menyatakan orang yang sentiasa memikirkan tentang imam Mahdi adalah orang yang sudah muflis pemikiran. Tidak tahu bagaimana dia boleh menyeleweng sebegitu,” katanya lagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya