fbpx

GTA rugikan penyatuan ummah – Muhammad Khalil

MUHAMMAD Khalil Abdul Hadi (dua dari kiri) ketika menyampaikan anugerah kepada ahli Dewan Pemuda Pas Kelantan di Tok Bali, Pasir Puteh, Kelantan.

PASIR PUTEH: Gerakan Tanah Air (GTA) yang diterajui bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad disifatkan merugikan usaha penyatuan ummah dalam membentuk gagasan politik lebih stabil pada masa hadapan.

Ahli jawatankuasa Pas Pusat,  Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, tindakan tersebut turut mengundang berlakunya perpecahan undi Melayu kerana parti politik yang ada ketika ini sudah mencukupi.

“Ini adalah pendapat peribadi saya yang tidak akan memberi impak sokongan kepada Pas atau kerajaan yang sedia ada kerana rakyat sudah mampu menilai hakikat sebenarnya,” katanya ketika ditemui pemberita sdelepas merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Pemuda Pas Negeri Kelantan kali ke 63 di Tok Bali, di sini hari ini.

Utusan Malaysia pada 4 Ogos lalu melaporkan, GTA dilancarkan secara rasmi dengan disertai Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa).

Dalam perkembangan lain, Muhammad Khalil berkata, Pas masih berpegang teguh dengan pendirian perlunya gandingan kerjasama dengan UMNO menerusi Muafakat Nasional (MN) dan memperkukuh Perikatan Nasional (PN).

Katanya, kerjasama dua entiti itu penting dalam memastikan kestabilan politik negara yang seharusnya tidak kembali kepada Pakatan Harapan (PH).

“Pas masih meneruskan usaha dan berjuang berkait perkara ini dengan tidak mengambil kisah isu-isu tertentu yang sengaja dibangkitkan pihak tertentu yang ingin menyaksikan gabungan parti Melayu berdepan kehancuran.

“Perbincangan dan pertemuan masih diteruskan dan Pas yakin konsep kerjasama sebelum ini kembali kukuh,” ujarnya.

Berhubung bayangan PN yang akan mengkaji semula perjanjian dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri, beliau berkata, perkara tertakluk kepada keputusan pemimpin atasan. – UTUSAN

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!