KUCHING: Menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kelak, penganalisis politik memberikan keyakinan bahawa Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan kekal menjadi satu identiti blok politik parti yang kukuh dan stabil khususnya mewakili rakyat di Sarawak.
Prof. Dr. Awang Azman Awang Pawi menegaskan tidak ada logik sekiranya parti komponen dalam GPS keluar daripada parti tersebut dan membetuk pakatan baharu.

“Saya kira mereka akan kekal dengan blok GPS mereka dan apa-apa perubahan, pendirian sikap ia akan dilakukan secara blok dan tidak dilakukan secara individu, serta bukannya secara parti sebaliknya secara konsensus melalui parti GPS itu sendiri.
“Malah, keyakinan ini telahpun dibuktikan apabila GPS telah menang pada Pilihan Raya Negeri ke-12 (PRN12) Sarawak yang lalu, dan ini jelas membuktikan rakyat di Sarawak percaya akan kepimpinan GPS mengetuai negeri Sarawak,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Beliau berkata demikian dalam memberi pendapat sebagai penganalisis politik dalam kebarangkalian GPS akan berpecah dan kemungkinan membentuk pakatan baharu apabila melihat hubungan baik antara GPS dan Barisan Nasional (BN) yang baik pada PRU14 yang lalu.
Sementara itu, mengulas lanjut mengenai hubungan di antara dua parti BN dan GPS yang mesra akan mempengaruhi PRU15 nanti. Awang Azman berkata hubungan itu tidak akan mempengaruhi keputusan untuk memberi peluang kepada BN untuk bertanding.
“Hubungan ini saya jangka akan diteruskan walaupun GPS asalnya ialah BN Sarawak. Jadi dalam konteks ini, bagi memastikan GPS kuat dan BN kukuhkan kedudukannya di Semenanjung Malaysia, khususnya, maka GPS akan terus menjadi kuasa yang ampuh dalam konteks dan landskap politik di Sarawak.
“Bagaimanapun, saya yakin BN tidak akan bertanding atas dasar hubungan mereka yang baik dan mereka mempunyai sejarah yang panjang pernah bersama dan dijangka akan membentuk kerajaan masing-masing, sekiranya BN memenangi PRU-15 yang akan datang,” jelasnya.
“Justeru, tidak mustahil BN akan bertanding di Sarawak, dan mana-mana pihak yang menggunakan logo BN ataupun mengaku mereka sendiri sebagai calon BN, saya kira akan ditolak di peringkat pusat. Ini kerana mereka masih menghormati GPS dan menganggap mereka sebagai satu parti rakan strategik BN,” katanya lagi.- UTUSAN










