KOTA BHARU : Gerakan untuk menukar kerajaan negeri merupakan perkara biasa setiap kali tibanya musim Pilihan Raya Umum (PRU).
Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, hal ini kerana kebanyakan isu-isu yang dimainkan bersifat ‘kitar semula’ dan kebanyakannya sudah dijelaskan oleh kerajaan negeri dalam ucapan-ucapan atau persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Ia mungkin digunakan untuk mengelirukan rakyat kerana isu-isu berulang itu mungkin baharu bagi rakyat yang tidak mengikuti perkembangan semasa serta kenyataan-kenyataan daripada kepimpinan negeri.
“Jadi kita akan hadap dan lihat sejauh mana perkembangan gerakan-gerakan baru ini,” katanya.
Beliau menyatakan demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang yang disempurnakan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaacob di perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV, di sini, hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panchor itu menjelaskan senario berkenaan juga merupakan perkara biasa bagi pembangkang untuk terus mencari perkara-perkara untuk dijadikan isu serta menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat.
Katanya, sehubungan dengan itu pengundi-pengundi terutama generasi muda dinasihatkan supaya lebih matang dan bijaksana apabila berdepan sesuatu isu.
“Saya setuju agar mereka berfikiran lebih kritikal dan tidak menjadi “yes men”.
“Generasi muda merupakan bakal pemimpin dan paling penting, mereka perlu mendapatkan maklumat jelas berkenaan sesuatu perkara serta mengkritik dengan kematangan,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau memberitahu bahawa PAS Kelantan belum memuktamadkan senarai calon bagi Pilihan Raya Umum ke-15 malah perkara itu serta pembahagian kerusi belum dibincangkan atau dimuktamadkan di peringkat pusat.
“Berpandukan perkembangan politik semasa dan beberapa kenyataan daripada peringkat kepimpinan, kita jangka pilihan raya mungkin diadakan sekitar penghujung tahun ini,” katanya.-UTUSAN










