Fokus siasatan saya kepada kontrak UKSB - Saksi 

Fokus siasatan saya kepada kontrak UKSB – Saksi 

AHMAD Zahid Hamidi merupakan bekas menteri yang difokuskan oleh Mahendran Vjeneran selain Hishammuddin Tun Hussein untuk menyiasat kontrak VLN dan OSC dalam UKSB di Mahkamah Tinggi di Shah Alam, Selangor, hari ini. - FOTO/ZULFADHLI ZAKI 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Saksi Pendakwaan Ke-18 pendakwaan terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Mahendran Vjeneran menegaskan fokus siasatannya adalah menjurus kepada kontrak Visa Luar Negara (VLN) dan Perkhidmatan Pusat Sehenti (OSC) daripada syarikat Ultra Kirana Sdn. Bhd. (UKSB) dengan Kementerian Dalam Negeri. 

Menurutnya, siasatannya tidak menyentuh nama-nama ahli politik lain yang didakwa menerima dana daripada UKSB seperti yang pernah didedahkan oleh saksi sebelum ini. 

Pegawai penyiasat itu menegaskan demikian selepas diasak oleh kedua-dua pasukan pendakwaan dan pembelaan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd. Yazid Mustafa, yang memaklumkan hanya menteri seperti Ahmad Zahid dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein terlibat secara langsung dengan kontrak UKSB. 

Bagaimanapun, Mahendran memaklumkan Hishammuddin tidak menerima dana daripada UKSB berdasarkan siasatannya terhadap lejar berkenaan. 

“Dalam pemeriksaan pertama tadi, tuan (sukar) untuk beri nama-nama lain, barulah keluar nama KJ (Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar) bila ditanya Raja Rozela (Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran). 

“Ada disebut nama-nama menteri-menteri dan kakitangan di KDN, cuba sebut?” soal peguambela Ahmad Zahid, Datuk Ahmad Zaidi Zainal. 

“Hishammuddin dan Ahmad Zahid,” jawab Mahendran ringkas. 

Ahmad Zaidi: Dua sahaja? 

Mahendran: Ya, saya cuma fokus kepada siasatan kes saya. 

Ahmad Zaidi: Semasa itu siapa lagi menteri-menteri selain daripada fokus Mahendran? 

Mahendran: Yang arif, adalah berdasarkan kepada aduan. Dalam ini ada beberapa ahli politik yang saya boleh ingat adalah, KJ, Anifah (bekas Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Anifah Aman) dan Reezal Merican (Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican), itu yang saya ingat, yang arif. 

Ahmad Zaidi: Pembayaran terhadap Ahmad Zahid yang dikatakan dibayar oleh ketiga-tiga nama(bekas Pengarah UKSB, Harry Lee Vui Khiun, Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani dan bekas Pengurus Pentadbiran, David Tan Siong Sun), dalam proses siasatan ada tak Mahendran siasat proksi-proksi untuk penama-penama menteri? 

Mahendran: Tidak pernah siasat.

Sebelum itu, Mahendran ketika disoal Raja Rozela menjelaskan nama-nama selain Ahmad Zahid dan Hishammuddin tidak berkaitan dengan siasatannya.

Ketika itu, Raja Rozela memberikan bayangan nama-nama lain seperti Anifah, namun Mahendran mengakuinya sebagai Menteri Luar Negeri. Kemudian Raja Rozela seterusnya mempersoalkan kemunculan nama-nama menteri lain Khairy Jamaluddin seperti dalam lejar UKSB.

“Saya menyemak kesemua puluhan nama dalam lejar tersebut termasuk pegawai kerajaan dan ahli politik serta rakan perniagaan Harry Lee. Terdapat juga nama-nama lain seperti menteri KJ (Khairy Jamaluddin) dan ahli politik lain. 

“Hasil siasatan saya, wang yang diserahkan kepada individu-individu lain tidak berkaitan dengan siasatan saya, kontrak OSC dan VLN, tidak berkaitan. 

“Namun begitu, bagi nama individu lain, SPRM menjalankan siasatan dengan melantik beberapa pegawai penyiasat untuk memperincikan siasatan tersebut dan saya dilantik bagi kes ini, saya fokus kepada kontrak UKSB iaitu VLN dan OSC,” jawab Mahendran. 

Raja Rozela: Fokus siasatan tuan juga adalah untuk menyiasat kontrak-kontrak UKSB dan juga Ahmad Zahid sahaja? 

Mahendran: Ya, yang arif. 

Pada peringkat awal pemeriksaan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Zander Lim Wai Keong, Mahendran memklumkan tidak dapat mengingati nama-nama selain daripada yang dikenal pasti iaitu bekas Ketua Penolong Setiausaha di Bahagian Hal Ehwal Imigresen, KDN, Azman Azra Abdul Rahman dan Setiausaha, Datuk Shahril Ismail seperti yang tercatat dalam lejar.

“Individu-individu selain Ahmad Zahid yang terlibat secara langsung bagi kontrak UKSB iaitu VLN dan OSC adalah Azman Azra, Datuk Shahril dan beberapa individu-individu lagi. 

“Tetapi namanya tidak ingat kerana individu yang lain tersebut telah dibuat siasatan oleh pegawai penyiasat lain di pejabat,” katanya, 

Zander Lim: Boleh beritahu kepada mahkamah dapat dilihat nama-nama mereka (pada lejar)? 

Mahendran: Pada ruangan itu nama Azman Azra (‘Small A’), Datuk Shahril (SUB), tercatat dalam lejar tersebut. 

Zander Lim: Selain nama tercatat dalam lejar, apakah tindakan anda? 

Mahendran: Individu termasuk Azman Azra dan Shahril yang terlibat secara langsung dalam kontrak UKSB, siasatan telah dijalankan oleh pegawai penyiasat lain. 

Zander Lim: Untuk individu lain selain daripada Azman Azra dan Shahril? 

Mahendran: Setelah saya semak dokumen, individu lain tersebut mereka tidak terlibat dalam kontrak VLN dan OSC yang dianugerahkan oleh KDN kepada USKB. 

Dalam masa sama juga Mahendran menyatakan Ahli Parlimen Sembrong itu tidak menerima dana daripada UKSB berdasarkan siasatan terhadap lejar berkenaan. 

“Berdasarkan hasil siasatan saya dengan keterangan-keterangan saksi dan juga semakan dokumen lejar yang diperoleh daripada David Tan, tiada rekod pembayaran atau apa-apa dokumen berhubung pembayaran kepada Hishammuddin. 

“(Saksi-saksi) adalah daripada syarikat UKSB iaitu David Tan, Harry Lee dan Wan Quoris Shah,” jelasnya menjawab soalan Zander Lim berdasarkan borang aduan yang menyatakan Wan Quoris Shah disyaki memberi rasuah kepada Hishammuddin,” jelasnya.

Hakim Mohd. Yazid kemudian menangguhkan perbicaraan dan menetapkan prosiding bersambung esok.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran yang mengetuai pasukan pendakwaan dan diwakili Datuk Wan Shaharudin Wan Ladin, Abdul Malik Ayob dan Zander Lim Wak Keong.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu pula diwakili peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mengetuai pasukan pembelaan dan Datuk Ahmad Zaidi Zainal serta Hamidi Mohd. Noh.

Terdahulu, David Tan yang merupakan Saksi Pendakwaan Ke-17 menamatkan kesaksiannya pada 25 Julai lalu dengan mendedahkan lebih ramai lagi individu berprofil tinggi termasuk bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin masing-masing dikatakan menerima RM2.6 juta dan RM1.3 juta. 

Malah, beliau yang diperiksa di mahkamah selama tiga hari pada peringkat pendakwaan itu turut mendedahkan nama-nama lain seperti bekas pemimpin MCA, Tan Sri Chan Kong Choy dan Tan Sri Ong Ka Chuan serta Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan. 

Masing-masing diberikan dana daripada UKSB sebanyak RM7.8 juta, RM922,820 dan RM1.162 juta dengan catatan kod nama dalam lejar syarikat berkenaan sebagai ‘Prof’, ‘OKC’ dan ‘S Pat’.

Ahmad Zahid yang juga bekas Menteri Dalam Negeri dalam tujuh pertuduhan didakwa menerima sejumlah wang tunai S$1,150,000; RM3 juta, 15,500 Swiss Franc dan AS$15,000 tanpa balasan daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan kerja rasminya. 

Dalam 33 pertuduhan lain berjumlah S$13.56 juta, beliau didakwa menerima wang tersebut daripada UKSB sebagai dorongan untuk dirinya melanjutkan kontrak pengendali Perkhidmatan OSC di China dan Sistem VLN serta mengekalkan kontrak perjanjian membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh KDN. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya