Elon Musk jual AS$6.9b saham Tesla

Elon Musk jual AS$6.9 bilion saham Tesla

JUMLAH kekayaan Elon Musk tahun ini jatuh sekitar AS$20 bilion berikutan kemerosotan saham Tesla. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Ketua Pegawai Eksekutif Tesla, Elon Musk menjual AS$6.9 bilion (RM30.75 bilion) saham syarikat tersebut, me­nurut pemfailan kawal selia.

Bilionair itu menjual kira-kira 7.92 juta saham pada Jumaat lalu, menurut pemfailan baharu itu.

Penjualan itu dibuat hanya empat bulan selepas orang terkaya di dunia itu berkata, beliau tidak mempunyai ranca­ngan lagi untuk menjual saham Tesla, selepas melupuskan AS$8.5 bilion saham susulan pembatalan perjanjian membeli Twitter Inc.

Musk, 51, kini telah menjual sekitar AS$32 bilion (RM142.5 bilion) saham dalam Tesla sejak 10 bulan lalu.

Pelupusan bermula pada November tahun lalu selepas Musk, pengguna Twitter yang prolifik, meninjau pengguna platform itu sama ada beliau perlu mengurangkan kepentingannya dalam platform media sosial itu.

Saham Tesla telah meningkat kira-kira 35 peratus daripada paras terendah baru-baru ini yang dicapai pada Mei, walaupun ia masih turun kira-kira 20 peratus tahun ini.

Dengan kekayaan AS$250.2 bilion (RM1.11 trilion), Musk adalah orang terkaya di dunia, menurut Indeks Billionaires Bloomberg, tetapi kekayaannya jatuh sekitar AS$20 bilion (RM89.12 bilion) tahun ini apabila saham Tesla merosot.

Musk bulan lalu berkata, beliau menamatkan perjanjian AS$44 bilion untuk memperoleh Twitter dan menjadikannya peribadi, mendakwa syarikat itu telah membuat ‘perwakilan mengelirukan’ berhubung bilangan ‘spambot’ pada perkhidmatan itu.

Twitter kemudian menya­man Musk untuk memaksa beliau menyempurnakan perjanjian itu, dan perbicaraan di Mahkamah Chancery Delaware telah ditetapkan pada Oktober depan.

Pada hujung minggu, Musk menulis ciapan, jika Twitter menyediakan kaedah pensampelan akaun untuk menentukan bilangan ‘bot’ dan bagaimana ia disahkan benar, urusan itu harus diteruskan mengikut syarat asal.

Pada Mei, Musk membatalkan rancangan untuk membiayai sebahagian pembelian dengan pinjaman margin yang terikat pada pegangannya di Tesla. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN