`Drama' rayuan akhir Najib berterusan - Utusan Malaysia

`Drama’ rayuan akhir Najib berterusan

Najib Tun Razak bersama peguamnya, Hisyam Teh Poh Teik di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya, semalam. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pendengaran rayuan akhir bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam bermula dengan `drama’ apabila peguam belanya, Hisyam Teh Poh Teik pula tiba-tiba memohon untuk menarik diri.

Walaupun sedar tindakannya boleh menyebabkan Ahli Parlimen Pekan itu tidak akan diwakili peguam, Hisyam tetap dengan keputusannya untuk tidak mewakili Najib.

“Saya ingin mengemukakan permohonan maaf. Permohonan maaf yang ikhlas dan jujur dari lubuk hati saya. Saya tidak boleh meneruskan rayuan pada pagi ini. Saya telah melakukan penilaian yang salah apabila menerima kes ini pada 21 Julai lalu.

“Bagaimanapun, saya sekali lagi memohon agar pendengaran ini ditangguhkan dan memohon Yang Amat Arif untuk menyemak keputusan yang telah dibuat dan benarkan penangguhan untuk beberapa bulan bagi membolehkan kami membuat persiapan.

“Sekiranya mahkamah tidak berpihak kepada kami, maka saya tiada pilihan selain menarik diri kerana saya tidak bersedia. Saya sangat sedih kerana terpaksa melakukan perkara ini kerana sepanjang 45 tahun saya sebagai peguam, saya tidak pernah melakukan perkara sebegini,” katanya.

Ketua Hakim Negara (KHN), Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel lima hakim kemudian bertanya apa akan berlaku kepada rayuan tersebut sekiranya peguam itu meneruskan hasratnya.

KHN: Anda tahu apa kesan kepada anak guam anda? Adakah anda mahu meneruskannya? Adakah anda tahu mahkamah ini mempunyai kuasa untuk meneruskannya bagi memastikan kelancaran prosiding?
Hisyam: Saya sedar perkara tersebut. Saya serahkan segalanya kepada mahkamah.

KHN: Awak sedar mahkamah ada kuasa untuk tidak membenarkan awak menarik diri dan awak akan terus menjadi peguam perayu (Najib)? Adakah awak masih ingin menarik diri dan membiarkan anak guam awak tidak diwakili.
Hisyam: Saya sedar yang saya tidak bersedia untuk meneruskan rayuan.

KHN: Bolehkah awak berhujah berdasarkan alasan petisyen rayuan yang telah difailkan? Kami yakin awak boleh melakukannya.
Hisyam: Saya tidak boleh meneruskannya. Saya serahkan kepada mahkamah.

Kira-kira sejam kemudian, panel lima hakim itu sebulat suara memutuskan untuk menolak permohonan Hisyam menarik diri atas alasan peguam terbabit tidak mengemukakan sebarang alasan yang kukuh.

Panel turut dianggotai Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah.

Hisyam kemudian ketika diminta untuk mula berhujah menyatakan beliau tidak akan membuat sebarang hujahan.

Hisyam: Tiada apa yang saya boleh katakan.
KHN: Awak tidak mahu berhujah? Adakah awak ingin menggunakan pakai hujah yang telah dikemukakan di Mahkamah Rayuan?
Hisyam: Ya.

Pada prosiding sebelah petang, `drama’ terbaharu tercetus apabila Hisyam yang pada mulanya tidak ingin berhujah memaklumkan pihaknya akan memfailkan hujahan bertulis baharu.

“Tadi Yang Amat Arif bertanya kepada saya sama ada saya ingin mengguna pakai hujahan di peringkat Mahkamah Rayuan dan saya kata ya. Tetapi pada ketika ini saya menyatakan, perkara yang wajar dilakukan ialah untuk saya memfailkan hujahan baharu,” katanya.

Namun tidak sampai tiga jam kemudian, sebelum mahkamah berhenti bersidang, Hisyam sekali lagi bangkit dan `membetulkan’ kenyataannya terdahulu.

Hisyam: Yang Amat Arif, laporan media menyatakan saya akan memfailkan hujahan baharu tetapi apa yang saya ingin nyatakan ialah saya hanya akan memfailkan hujahan baharu itu sekiranya saya diberikan penangguhan.

KHN: Encik Hisyam, saya tidak mahu ulang apa yang telah saya katakan sebelum ini. Tiada penangguhan akan diberikan. Kami takkan ulang banyak kali sebab itu kami minta pendakwa raya untuk meneruskan hujah apabila awak tidak mahu berhujah. Awak boleh pilih mana hujah pendakwaan yang ingin awak balas esok.

Prosiding rayuan bersambung hari ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya