Diserang angin ahmar tidak halang Wan Rahimi sambut merdeka

Diserang angin ahmar tidak halang Wan Rahimi sambut merdeka

WALAUPUN masih dalam proses pemulihan daripada penyakit angin ahmar, Wan Rahimi Wan Mokhtar sudah boleh memandu kereta mininya yang dihias Jalur Gemilang untuk perarakan hari kemerdekaan. – UTUSAN/DIANA SURYA ABD WAHAB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Berbekalkan semangat patriotisme yang tinggi, seorang peniaga kedai makan menghidap angin ahmar sejak tahun lalu, berusaha gigih melawan penyakitnya agar dapat menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-65 tahun ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Wan Rahimi Wan Mokhtar, 60, atau lebih mesra dengan panggilan ‘Mi Merdeka’, berkata, selepas negara berdepan dengan pandemik Covid-19 selama dua tahun, kali ini dia tidak mahu lagi terlepas daripada menghias kedainya dengan bendera Jalur Gemilang.

Menurutnya, kegemarannya membuat dekorasi kedai menggunakan bendera sudah sebati dengan jiwanya yang telah dilakukan sejak 21 tahun lalu.

“Saya diserang angin ahmar, 7 Disember tahun lalu hingga menyebabkan kedua-dua kaki tidak dapat bergerak namun dengan pelbagai perubatan dan kata-kata semangat serta doa dari mereka yang mengenali, semangat untuk pulih datang dengan sendirinya.

“Selain itu, ada juga yang tengok saya dalam keadaan yang belum pulih sepenuhnya tetap dengan bertanya, tahun ni hias kedai atau tak? Kereta mini merdeka mana? Juga antara sebab membuatkan semangat untuk cepat pulih dan menyambut kemerdekaan berkobar-kobar.

“Walaupun badan sukar bergerak dan adakalanya tahap kesihatan yang turun naik, semangat yang ada da­lam diri tidak pernah pa­dam,” katanya

Selepas dua tahun tidak ada sebarang perarakan dan sambutan hari kemerdekaan di sini, tahun ini Mi Merdeka sekali lagi dijemput Kelab Kereta Mini Kuantan untuk turut serta dalam perarakan yang dijangka diadakan di Dataran Kemunting di sini pada 31 Ogos nanti.

Jelasnya, pelbagai kritikan diterima kerana menghabiskan banyak wang membeli bendera untuk menghias kedai, kende­raan dan pakaiannya setiap kali tiba hari kemerdekaan.

“Ini adalah cara saya sebagai rakyat Malaysia untuk menunjukkan semangat patriotik dan cintakan negara.

“Sebelum ini, sudah terbiasa menghias kedai, bila tidak dapat berbuat demikian mulalah rasa sedih kerana gagal melengkapi sambutan hari kemerdekaan. Banyak perancangan dan idea yang sudah difikirkan namun atas faktor kesihatan sedikit-sebanyak saya reda.

“Namun, saya masih berdoa dan berharap diberikan kesihatan baik berpanjangan agar berkesempatan untuk bersama-sama berkereta mini menyertai ,” katanya. Kedai makan Mi Merdeka sentiasa menjadi perhatian masyarakat Kuantan, kerana kedainya menampilkan landskap dan susun atur kreatif Jalur Gemilang di setiap kali bulan merdeka. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya