Dakwaan ajaran sesat di Johor, Majlis Fatwa kena bersidang - Utusan Malaysia

Dakwaan ajaran sesat di Johor, Majlis Fatwa kena bersidang

IDRIS Ahmad menyerahkan sijil penyertaan kepada bakal Daie Muda pada Program Akademi Daie Muda YADIM (ADMY) di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Majlis Fatwa Kebangsaan perlu bersidang terlebih dahulu sebelum sebarang tindakan boleh diambil berhubung dakwaan ajaran sesat Hadi Minallah, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad.

Ini kerana katanya, penyebaran ajaran sesat yang didakwa berlaku di Kota Tinggi, Johor baru-baru ini merupakan suatu perkara baharu.

“Kalau ada tempat diketahui ada ajaran sesat, kalau perkara itu betul berlaku perlu hubungi segera Jabatan Agama Islam Negeri masing-masing.

“Cuma katanya ajaran sesat Hadi Minallah ini perkara baharu, kena ada fatwa dahulu, Majlis Fatwa Kebangsaan kena bersidang lepas itu buat keputusan kemudian baru boleh bertindak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditanya mengenai dakwaan penyebaran ajaran sesat yang berlaku di Johor baru-baru ini selepas merasmikan Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Pelatih Akademi Daie Muda Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia 2022 di sini hari ini.

Kelmarin, media melaporkan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) mengesahkan terdapat cubaan untuk menyebar ajaran sesat Hadi Minallah di Kota Tinggi, baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, JAINJ sedang mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengekang usaha anggota ajaran sesat itu daripada mencemari pemikiran rakyat negeri tersebut.

“Kita tahu pergerakan mereka dan mahu beri amaran supaya segera berhenti sebelum tangkapan dilakukan. Bahagian Penguatkuasa JAINJ akan terus memantau dan memerhati perkembangan terbaharu ini,” katanya.

Dalam pada itu, Idris berkata, tiada markas operasi didalangi kumpulan berkenaan dikesan di Setapak, Kuala Lumpur.

“Setakat ini dalam bentuk fizikal belum lagi kita dapat,” katanya.

Pada 4 Ogos lalu, tular video berdurasi 7 minit 30 saat memaparkan seorang lelaki mendakwa sebagai pengasas ajaran itu, Wayang Hadi Kesumo atau Hadi Minallah Aminnullah Ahmad berasal dari Indonesia.

Dia mengaku tiada agama dan menyebarkan fahaman makrifat sesat, Nur Muhammad serta pluralisme agama yang dakwanya Tuhan tidak melihat kepada agama selain turut menolak hadis. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya