PETALING JAYA: Selangor FC perlu segera mencari jurulatih baharu dengan bekas pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe adalah calon paling sesuai.
Memiliki pengalaman luas dalam Liga Malaysia (Liga M) dan memahami kehendak pemain, Cheng Hoe dilihat individu yang layak mengisi kekosongan ditinggalkan Michael Feichtenbeiner.
Bekas bintang penyerang Selangor, Mohd. Nizaruddin Yusof percaya, peranan Cheng Hoe selaku jurulatih amat bersesuaian dengan Merah Kuning.
“Pengurusan perlu cepat dan cuba mendapatkan khidmatnya memimpin Selangor FC jika tidak musim ini mungkin musim depan.
“Ini yang perlu mereka lakukan andai ingin melihat Selangor FC bangkit dan mampu bersaing dengan pasukan lain,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Kelmarin, Selangor FC melucutkan tugas Michael Feichtenbeiner sebagai ketua jurulatih pasukan tersebut dan kekosongan itu akan diisi sementara oleh penolong ketua jurulatih, Nidzam Jamil.

Nidzam akan mengambil alih tanggungjawab mengemudi pasukan utama sebagai bagi menghadapi baki saingan Liga Malaysia (Liga M) 2022.
Cheng Hoe sehingga kini belum kembali ke padang selaku jurulatih walaupun pernah dikaitkan dengan Melaka United, Perak FC dan Selangor.
Mohd. Nizaruddin yang merupakan tonggak Merah Kuning dari 2001 hingga 2003 menyifatkan pemilihan jurulatih bersesuai dengan corak permainan, selain pemain berkualiti perlu disegerakan jika Selangor ingin menjulang piala selepas kali termuncul juara Piala Malaysia 2015.

“Kena ambil pemain berkualiti untuk jadi juara, begitu juga pemilihan jurulatih yang bertepatan dengan gaya permainan.
“Pengurusan perlu bersaing mendapatkan jurulatih mahupun pemain berkualiti tetapi apa yang saya lihat ketika ini sikap acuh tak acuh akan perkara ini.
“Inilah hasil diraih ketika ini, bukan nak cakap 11 pemain tidak bagus, mungkin tidak sesuai dengan latihan diterapkan jurulatih, semua ini perlu diberi perhatian,” katanya.
Beliau turut mengharapkan peranan jurulatih kelahiran Selangor yang pernah bermain dengan pasukan berada dalam barisan kejurulatihan baharu.

Tambahnya, jurulatih tidak boleh dipersalahkan atas prestasi semasa pasukan ini.
“Sudah tiga musim, tidak banyak perubahan berlaku dalam pasukan ketika ini.
“Pengurusan juga perlu bertanggungjawab dan segera bertindak.
“Mereka yang bersetuju menandatangani pemain tempatan, import dan juga jurulatih.
“Mungkin dalam jangka masa yang panjang kalau tak ubah, Selangor FC tidak akan dapat bersaing dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang menjadi penanda aras prestasi bagi setiap pasukan dalam saingan Liga M,” tegasnya