Berkat Tuah bangkit semula selepas pandemik Covid-19

Berkat Tuah bangkit semula selepas pandemik Covid-19

MOHD. EL AZAMRI bersama isteri, Nor Harzelinda menunjukkan rangkaian produk jenama Berkat Tuah keluaran syarikatnya di MAHA 2022. – FOTO/MOHD. HUSNI MOHD. NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERDANG: Kesan pandemik Covid-19 termasuk pendapatan industri kecil dan sederhana (IKS) merudum sehingga 80 peratus turut dialami sebuah syarikat bumiputera yang juga usahawan bimbingan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Berkat Tuah Foodstuff Sdn. Bhd. (Berkat Tuah).

Namun, selepas dua tahun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir, Berkat Tuah kini kembali pada landasan tepat untuk bergerak ke arah pemulihan syarikat dan kini bersedia menembusi pasaran luar negara menerusi produk utamanya iaitu roti canai se­gera dan sate.

Pengarah Urusannya, Mohd. El Azamri berkata, sepanjang pandemik lalu, pihaknya terpaksa melupakan dua pasaran eksport utama iaitu membekalkan bekalan roti canai segera ke Ocean Park dan Dis­neyland di Hong Kong.

Beliau berkata, bagi menggantikan pasaran itu, pihaknya berbangga kerana dapat membekalkan bekalan roti canai kepada rakan niaga di Jeddah sejak awal tahun lalu selain memenuhi permintaan doh roti canai di seluruh Melaka, Batu Pahat (Johor) dan Shah Alam (Selangor).

“Ketika ini kami sedang melengkapkan syarikat dengan Perakuan Kesihatan Veterinar (VHM) sebagai syarat pen­ting untuk menembusi pasaran produk berasaskan daging di luar negara.

“Perakuan ini penting bagi membolehkan produk sate ayam dan daging yang kami keluarkan dapat menembusi pasaran luar negara,” katanya.

Beliau juga mengesahkan ada beberapa ejen pemasar luar negara sudah menghubungi­nya untuk mendapatkan bekalan sate itu dan boleh dipenuhi sejurus selepas syarikatnya mem­peroleh perakuan itu kelak.

El Azamri berkata, proses mendapatkan perakuan VHM mengambil masa antara lapan ke setahun dan pihaknya sudah melalui proses itu selama tujuh bulan.

“Kami harap dapat mengeksport bekalan sate itu ke pasaran luar selewat-lewatnya akhir tahun ini,” katanya.

Katanya, buat masa ini, sya­rikat itu sudah memperoleh perakuan Pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Indus­tri (MeSTI), Amalan Pengila­ngan Baik (GMP) dan Hazard Analysis and Critical Control Points (HACCP) bagi semua produk keluarannya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.