PETALING JAYA: Tindakan menarik balik sokongan terhadap Menteri Besar Negeri Sembilan disifatkan sebagai langkah politik oportunis atau tindakan dibuat bukan atas prinsip atau kepentingan rakyat yang hanya akan menambah satu lagi masalah dalam landskap politik negeri berkenaan.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, fokus utama ahli-ahli politik di Negeri Sembilan khususnya dalam kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sepatutnya tertumpu kepada usaha mencari jalan penyelesaian bagi mendamaikan institusi Yang di-Pertuan Besar dengan institusi empat Ketua Adat yang mewakili empat luak.
Katanya, tindakan menarik balik sokongan kepada Menteri Besar sedia ada hanya akan menambahkan lagi kemelut politik yang sedang berlaku.
“Daripada isu legitimasi kedudukan Yang di-Pertuan Besar, kini timbul pula satu lagi isu iaitu legitimasi Menteri Besar.
“Jika isu Menteri Besar ini menimbulkan perpecahan dalam Kerajaan Perpaduan (Pakatan Harapan-Barisan Nasional) di Negeri Sembilan maka ia boleh membawa kepada perpecahan Kerajaan Madani di peringkat kerajaan Persekutuan di Putrajaya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Semalam, kesemua 14 ADUN BN Negeri Sembilan sebulat suara menarik sokongan serta menyatakan hilang kepercayaan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, sekali gus mencetuskan krisis politik di negeri itu.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, keputusan itu dibuat susulan krisis membabitkan institusi adat dan Perlembagaan Negeri Sembilan yang sewajarnya dihormati dan dipertahankan tanpa campur tangan politik.
Pada PRN 2023, Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan yang dipimpin Aminuddin memperoleh majoriti di Dewan Undangan Negeri.
Daripada 36 kerusi DUN, Pakatan Harapan (PH) menguasai 17 kerusi melibatkan DAP (11), PKR (5) dan Amanah (1), manakala UMNO BN memperoleh 14 kerusi.
Blok pembangkang pula memperoleh lima kerusi, terdiri daripada Pas (3) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) (2).-UTUSAN.










