Iran tawar cadangan baharu kepada AS buka Selat Hormuz

Iran tawar cadangan baharu kepada AS buka Selat Hormuz

SEBUAH bot Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) yang didakwa mengambil bahagian dalam operasi untuk merampas kapal-kapal cuba menyeberangi Selat Hormuz pada 21 April lalu.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN: Iran mengemukakan cadangan baharu kepada Amerika Syarikat (AS) untuk membuka semula Selat Hormuz dan menamatkan konflik, termasuk menangguhkan rundingan nuklear.

Menurut laporan Axios yang memetik seorang pegawai AS dan dua sumber, cadangan yang disalurkan melalui pengantara di Pakistan itu turut mencadangkan lanjutan gencatan senjata bagi membolehkan usaha ke arah penyelesaian kekal konflik diteruskan.

Laporan sama menyatakan, rundingan nuklear hanya akan dimulakan semula selepas sekatan AS terhadap Selat Hormuz ditarik balik.

Pengantara Pakistan menyampaikan cadangan itu kepada Rumah Putih, namun masih belum jelas sama ada Washington bersedia untuk mempertimbangkannya, lapor Axios.

Susulan laporan tersebut yang diterbitkan pada awal dagangan di Asia semalam, dolar AS susut berbanding kebanyakan mata wang utama, manakala niaga hadapan indeks S&P 500 mencatatkan kenaikan. 

Sementara itu, Rumah Putih belum memberi maklum balas segera terhadap laporan Axios.

Usaha untuk menyambung semula rundingan damai mengenai perang Iran dihentikan pada hujung minggu selepas Presiden AS, Donald Trump membatalkan rancangan lawatan dua utusannya, manakala Teheran menegaskan tidak akan berunding selagi masih diancam.

Sabtu lalu, Trump mengakui menerima satu pelan baharu daripada Iran, dengan mendakwa Teheran segera menghantar cadangan terkini selepas beliau mengarahkan pegawainya membatalkan lawatan ke Pakistan untuk rundingan.

“Menariknya, sebaik sahaja saya batalkan, lama masa 10 minit, kami menerima kertas cadangan baharu yang jauh lebih baik,” kata Trump kepada wartawan.

Beliau mendakwa, Iran menawarkan banyak perkara tetapi masih belum mencukupi, tanpa memberikan butiran lanjut.

Walaupun gencatan senjata secara umumnya masih bertahan sejak awal April, kedua-dua pihak masih mengekalkan sekatan terhadap Selat Hormuz, menjadikan laluan tenaga penting itu hampir tidak dapat dilalui.

Gangguan kepada kira-kira satu perlima aliran minyak dunia digelar sebagai kejutan bekalan terbesar dalam sejarah oleh Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA).-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN