KUALA TERENGGANU: Bekas kakitangan anak syarikat Ketengah Holdings Sdn. Bhd. (KHSB) akan menggunakan saluran perundangan bagi menuntut pembelaan berhubung penamatan perkhidmatan mereka lebih awal daripada kontrak.
Jurucakapnya, Mohd. Nuhairi Muhammad berkata, tindakan itu selepas usaha damai bersama pihak pengurusan KHSB yang diatur Jabatan Perhubungan Perusahaan (JPP) gagal menemui kata sepakat.
Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Ketengah Niaga & Tours itu menjelaskan, KHSB sebaliknya berkeras tidak akan berunding atau membayar pampasan kepada lebih 15 bekas kakitangannya itu.
“Apa yang dituntut bukan duit atau jawatan, tetapi lebih kepada menjaga imej kami. Namun KHSB enggan menerima apa jua pandangan dan tidak akan bayar walau satu sen kepada kami.
“Jika itu pendirian mereka, kami anggap tiada apa lagi yang boleh dibincangkan dan JPP akan memfailkan tuntutan kami di tribunal mahkamah perusahaan dalam masa terdekat.
“Kami kesal agensi kerajaan di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar yang berfungsi menjaga kebajikan rakyat namun sebaliknya pula berlaku,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Beliau memberitahu, penamatan perkhidmatan lebih awal itu berlaku di luar pengetahuan ahli jemaah lembaga dan mempersoalkan etika serta justifikasi terhadap keputusan ke atas kesemua bekas pekerja terlibat.
“Saya rasa ada yang tidak kena dalam isu ini. Sebagai seorang yang berpegang kepada profesionalisme, saya ambil tanggungjawab dan telah menghantar surat perletakan jawatan 27 Julai lalu.
“Tiada sebarang mesyuarat atau perbincangan bagi membincangkan isu ini dan saya masih ahli jemaah lembaga ketika perkara ini berlaku. Saya harap mereka diadili dengan baik,” katanya.
Utusan Malaysia pada 24 Julai lalu melaporkan 15 pekerja KHSB kesal dengan tindakan pihak pengurusan menamatkan perkhidmatan mereka lebih awal daripada kontrak. – UTUSAN










