Banyak kes rasuah sukar dituduh

Banyak kes rasuah lewat, sukar dituduh

KERATAN akhbar Utusan Malaysia 15 Ogos 2022.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Banyak faktor mempengaruhi kelewatan dalam siasatan sesuatu kes rasuah terutama siasatan kes berprofil tinggi sekali gus menyukarkan untuk dituduh di Mahkamah.

Satu sumber menjelaskan kepada Utusan Malaysia, terdapat banyak keadaan yang menyebabkan kes tidak mendapat keizinan untuk proses pendakwaan dibuat antaranya disebabkan oleh keterangan yang belum mencukupi.

Kata sumber itu, ada juga kertas siasatan yang disyorkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) tidak lengkap dan memerlukan tindakan lanjut pasukan siasatan.

“Ada juga kes, kertas siasatan dikembalikan kepada kepada pasukan siasatan terlibat untuk mendapatkan keterangan atau dokumen daripada beberapa saksi-saksi lain yang dirasakan munasabah sebelum keputusan boleh dituduh atau tidak diputuskan,” katanya.

Mengulas lanjut, kata sumber itu, antara faktor lain berlaku kelewatan dalam siasatan adalah disebabkan oleh keterangan dan dokumen yang mungkin berkait dengan negara luar.

“Yang mana pasukan siasatan perlu membuat proses permohonan Mutual Legal Assistance (MLA) melalui Jabatan Peguam Negara untuk mengambil keterangan saksi-saksi atau bukti yang berada di luar negara,” jelasnya.

Minggu lalu, SPRM mengesahkan kertas siasatan mengenai projek perolehan kapal tempur itu telah dikemukakan kepada AGC.

SPRM dalam satu kenyataan memaklumkan, kertas siasatan berkenaan telah pun dilengkapkan dengan saranan untuk mempertimbangkan pertuduhan terhadap beberapa individu.

Seterusnya, SPRM akan menerima arahan lanjut hasil daripada kajian Pejabat Peguam Negara terhadap kertas siasatan tersebut.

Sebelum ini, kerajaan menggesa SPRM dan AGC segera bertindak berhubung pendedahan kepincangan projek pembinaan kapal tempur milik TLDM itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu diputuskan selepas ia dibincangkan secara terperinci dalam Mesyuarat Jemaah Menteri semalam.

Beliau berkata, ini kerana kerajaan memandang serius isu projek kapal tempur pesisir pantai (LCS) yang sedang dalam siasatan SPRM berkenaan.

Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki memaklumkan siasatan berkenaan projek perolehan berkenaan telah lama dijalankan pihaknya.

Ia sekali gus menepis dakwaan pelbagai pihak mendesak SPRM supaya menyelesaikan segera siasatan berhubung kepincangan projek pembinaan enam kapal tempur LCS susulan laporan PAC yang dibentangkan. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN