Banyak isu panas jadi kempen politik menjelang PRU15 - Utusan Malaysia

Banyak isu panas jadi kempen politik menjelang PRU15

Mohd. Izani Mohd Zain
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lebih banyak isu panas dijangka ditimbulkan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bagi menarik sokongan selain menghadirkan persepsi negatif rakyat terhadap lawan ma­sing-masing.

Ketika tarikh PRU15 masih menjadi teka-teki, sudah ada isu yang ditimbulkan bagi mengelirukan rakyat tanpa mengira isu yang dibangkitkan itu mempunyai kebenaran atau hanya tuduhan semata-mata untuk meraih sokongan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis politik, Prof. Madya Dr. Mohd. Izani Mohd Zain berkata, sememangnya ahli politik akan sentiasa mencari jalan untuk mempengaruhi persepsi pengundi menjelang pilihan raya.

“Parti politik akan mainkan sebarang isu yang boleh memberikan sokongan kepada mereka misalnya salah guna kuasa dan integriti. Kita sudah boleh nampak sekarang apabila isu kapal tempur pesisir pantai (LCS) mula dimainkan.

“Apa yang saya nampak, menjelang PRU15 lebih banyak isu akan dimainkan untuk mempengaruhi persepsi rakyat. Situasi ini sama sahaja dengan pilihan raya yang sebelum ini apabila minda dan sentimen rakyat dipermainkan oleh parti politik.

“Saya bagi contoh Pakatan Harapan (PH) yang buat tawaran dan janji-janji dalam kempen mereka pada PRU14 dan akhir­nya rakyat beralih angin dan menyokong mereka, namun, segalanya hanya tinggal janji,” katanya.

Beliau mengulas sejauh mana kempen parti politik menjelang PRU15 akan mempengaruhi pengundi walaupun bahan atau janji yang diberikan tidak mempunyai kesahihan atau benar-benar ditunaikan.

Mengulas lanjut, Mohd. Ezani berkata, berdasarkan kajian lapangan yang dilakukannya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, rata-rata pengundi masih ingat dengan jani-janji yang gagal ditunaikan oleh PH dan hasilnya gabungan parti itu tewas.

“Macam di PRN Johor, apabila kita buat kajian, para pengundi masih tertanya-tanya apa yang terjadi kepada janji PH semasa mereka berkempen. Segalanya hanya tinggal janji dan gagal ditunaikan.

“Saya meminta agar rakyat mengambil iktibar apa yang berlaku pada PRU14. Jangan mudah ‘termakan’ dengan janji-janji pilihan raya dan buat pilihan terbaik walaupun tarikh sebenar PRU15 masih belum dinyatakan lagi,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya