Asingkan GEG dan pengawalseliaan industri vape - Utusan Malaysia

Asingkan GEG dan pengawalseliaan industri vape

PENGUSAHA dan komuniti vape mengharapkan undang-undang berkaitan produk tembakau dan vape perlu diasingkan daripada RUU bagi memastikan industri vape terus bernafas mengikut syarat tertentu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelaksanaan Rang undang-undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 disifatkan sebagai pembuka ruang kepada pengusaha vape untuk terus menjalankan perniagaan.

Bagaimanapun, Pengarah Nanostix Innovations Sdn. Bhd., Shahabudeen Jalil yang menyokong RUU itu berkata, kerajaan dalam masa yang sama perlu mewujudkan akta bagi membolehkan industri vape beroperasi sah mengikut saluran undang-undang.

Malah katanya, undang-undang berkaitan produk tembakau dan vape juga perlu diasingkan daripada RUU terbabit bagi memastikan industri vape terus bernafas mengikut syarat tertentu.

“Ada langkah yang perlu dilaksanakan kerajaan antaranya memberi kebenaran kepada pengusaha vape menjual produk di kedai berlesen sahaja.

“Begitu juga dengan pelaksanaan duti eksais yang mewajibkan pengeluar dan pengedar vape tempatan mendedahkan semua bahan digunakan dalam penghasilan cecair berperisa. Ini antara langkah yang membolehkan industri ini dikawal selia dengan teratur,” katanya dalam satu kenyataan di sini baru-baru ini.

SHAHABUDEEN JALIL

RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 yang turut digelar sebagai GEG atau Generasi Penamat telah dibentangkan di Dewan Rakyat pada 27 Julai lepas antaranya memperuntukkan larangan individu yang lahir pada 1 Januari 2007 dan seterusnya, merokok, membeli atau memiliki produk tembakau atau peranti.

RUU ini menyentuh beberapa tafsiran yang menyamakan rokok dan vape walaupun kedua-dua rokok tersebut adalah berbeza.

Tambah Shahabudeen, sekiranya kerajaan memberikan kebenaran kepada industri vape untuk terus bernafas, ia disifatkan sebagai situasi menang-menang demi kebaikan semua pihak.

“Pengeluar vape dapat terus berniaga manakala pengguna boleh mendapatkan produk yang lebih selamat dan kerajaan pula mampu memperoleh pendapatan melalui cukai,” ujarnya.

Dalam pada itu, Shahabudeen berkata, pihaknya mencadangkan kerajaan segera mewujudkan akta untuk membolehkan industri vape beroperasi secara sah mengikut saluran undang-undang.

“Isu utama yang dihadapi pasaran gelap adalah isu pokok. Ia adalah sumber utama generasi bawah umur mendapatkan stok rokok dan vape jika tiada kawal selia.

“Kelompongan yang ada dalam penguatkuasaan selama ini perlu dinilai semula jika objektif GEG ini mahu dicapai secara mutlak,” tegasnya.

Berdasarkan rekod sebelum ini, dijangkakan larangan penjualan produk tembakau secara terang-terangan untuk mereka yang lahir selepas 2007 akan meningkatkan perdagangan haram daripada 58.4 peratus pada Mac lalu kepada 61.7 peratus.

Kerajaan juga akan kehilangan hasil daripada industri tembakau melebihi paras RM5 billion.

Sebagai produk alternatif kepada rokok, Shahabudeen berkata, vape dan rokok elektronik telah diterima baik di negara luar seperti United Kingdom (UK) dan New Zealand.

Malah katanya, ia diik­tiraf sebagai alternatif yang dapat mengurangkan mudarat berbanding rokok dan membantu perokok berhenti daripada mengamalkan tabiat tersebut.

Disamping sebagai alternatif untuk berhenti merokok, industri vape turut memberi manfaat kepada sudut ekonomi negara dan rakyat menerusi peluang pekerjaan.

“ Dengan nilai runcit dianggarkan RM2.27 bilion, ia menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat.

“Justeru, isu rokok dan vape ini tidak harus dilihat secara hitam putih sahaja. Ia perlu diperhalusi dari pelbagai sudut, supaya sebarang keputusan yang dicapai nanti adalah yang paling baik dan memberi manfaat untuk semua pihak.

“Lebih penting, keputusan itu nanti tidak pula menerbitkan sebarang masalah atau polemik tidak berkesudahan,” katanya.

Nanostix Innovations yang menguasai 20 peratus industri rokok elektronik negara membuat pembayaran cukai sebanyak RM52 juta bagi tempoh 2018 sehingga 2021, atau kira-kira RM12 juta hingga RM13 juta setahun.

Shahabudeen dalam masa yang sama turut menimbulkan persoalan berhubung langkah kerajaan untuk mewujudkan sumber pendapatan dan peluang pekerjaan lain bagi menggantikan industri vape yang dijangka pupus untuk beberapa tahun akan datang.

“Perniagaan kami akan pupus dalam tempoh 10 tahun akan datang menerusi pelaksanaan GEG. Jadi apakah langkah kerajaan untuk menggantikan sektor yang lenyap ini?”

Pelaksa­naan berperingkat GEG dijangka memberi kesan kepada pemain industri vape dan rokok elektronik yang kini mencecah kira-kira 3,000 usahawan di Malaysia dengan 15,000 pekerja selain membabitkan satu juta pengguna.

Selain itu, beberapa pakar turut berpandangan, rang undang-undang ini bukan sahaja memberi kesan kepada ekonomi, tetapi kepada sektor pelancongan kerana penguatkuasaan ketat di bawah Rang Undang-undang Kawalan Hasil Tembakau dan Merokok termasuk menjenayahkan individu serta pemilik kerajaan.

Malah, kebimbangan utama dalam kalangan pemain industri adalah kuasa yang diberikan kepada pegawai yang mendapat akses kepada data berkomputer termasuk kata laluan di bawah Seksyen 34(4) rang undang-undang itu.

Selain Nanostix, beberapa pertubuhan bukan kerajaan seperti Malaysia Retail Electronic Cigarette Association (MRECA), Malaysian Vape Industry Advocacy (MVIA), Dewan Perniagaan Vape Malaysia (DPVM), Malaysian Vapers Alliance (MVA) dan Malaysian Organization of Vape Entity (MOVE) turut menggesa agar pelaksanaan GEG dikaji semula.

Berhubung pembentangan RUU tersebut, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, sejumlah dua juta nyawa mampu diselamatkan daripada kematian serta kesakitan disebabkan penyakit berkaitan aktiviti merokok dalam tempoh sehingga 2040 sekiranya ia berjaya dikuatkuasakan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN