Adat Perpatih pupus 10 tahun lagi - Utusan Malaysia

Adat Perpatih pupus 10 tahun lagi

RAIS Yatim ketika menyampaikan ucaptama dan merasmikan Seminar Polemik Sejarah Negeri Sembilan 2022 di Galeri Diraja Tuanku Ja'afar dekat Seremban hari ini. - UTUSAN/MOHD SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Amalan Adat Perpatih yang menjadi identiti budaya dan kehidupan di Negeri Sembilan akan pupus dalam tempoh 10 tahun lagi jika tiada tindakan tersusun dilakukan bagi mempertahan dan menyebar luas kefahaman mengenai adat tersebut.

Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, bagi mengelak ia daripada berlaku, pendidikan mengenai adat itu perlu dimulakan sekarang di semua peringkat masyarakat dengan diterajui institusi beraja dan kerajaan negeri.

Katanya, pihak istana dan kerajaan negeri mempunyai kaitan langsung dengan Adat Perpatih memandangkan kedudukan mereka digariskan secara jelas dalam perlembagaan negeri yang meletakkan adat sebagai komponen utama.

“Keberadaan mereka sekarang adalah disebabkan oleh demokratik adat yang terkandung dalam perlembagaan negeri. Apabila orang tidak lagi mengenal adat, mereka akan mula mempersoalkan kedudukan adat sebab tidak nampak kaitan adat dengan jawatan yang dipegang,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Polemik Sejarah Negeri Sembilan 2022 di Galeri Diraja Tuanku Ja’afar sini hari ini.

Rais menarik perhatian kefahaman masyarakat mengenai adat mulai pudar apabila ia tidak dimasukkan sebagai satu sukatan subjek untuk diajar di sekolah.

“Jadi siapa yang hendak mengajar semua ini. Di sekolah, mereka belajar sejarah peristiwa tetapi tiada cerita mengenai kebesaran, keindahan dan keunikan sistem adat. Pada masa yang sama, pegawai kerajaan yang datang berkhidmat tidak kenal adat dan institusi adat seperti Mahkamah Penghulu telah dihapuskan menyebabkan kedudukan adat semakin jauh,” jelasnya.

Katanya, kebijaksanaan dan keindahan hidup beradat harus dipupuk semula di negeri ini sebagai satu sistem pentadbiran dan kehidupan yang baik.

Seminar selama sehari itu disertai 120 peserta. Sebanyak lima kertas kerja dibentangkan oleh tokoh adat dan sejarah dalam seminar tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya