PETALING JAYA: Lebih 500,000 akaun bank disyaki akaun keldai disekat Bank Negara Malaysia (BNM) selepas dipercayai membuat transaksi meragukan termasuk untuk kegunaan scammer dalam tempoh lima tahun ini.
Kegiatan itu juga berkemungkinan besar didalangi ‘orang dalam’ yang menjual data pengguna kepada pihak ketiga. Lazimnya ia melibatkan pemilik akaun yang mempunyai jumlah simpanan tinggi.
Setakat ini, Malaysia masih belum mempunyai agensi yang diberi kuasa untuk melakukan serbuan terhadap mana-mana bank atau entiti yang diragui dalam menjaga keselamatan siber.
Selain itu, negara juga kekurangan pakar forensik digital untuk mengesan dan membendung kes-kes penipuan siber.
Dikatakan setiap ejen keldai akaun dipercayai mempunyai lebih daripada 2,000 akaun bank individu untuk digunakan sindiket penipuan.
Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, sumber memberitahu, setiap seorang ejen mempunyai senarai lebih daripada 2,000 nombor akaun yang ‘disewa’ dengan harga RM3,000 hingga RM5,000 setiap satu akaun kepada scammer.
Kata sumber, setiap ejen ini mencari akaun bank untuk disewa di media sosial terutamanya akaun syarikat perniagaan yang sah sebelum menawarkan nombor akaun tersebut kepada sindiket untuk menjalankan pelbagai jenayah termasuk perjudian dan penipuan dalam talian, Love Scam, penipuan e-dagang dan sebagainya.
“Bayangkan, satu syarikat perniagaan yang sama mempunyai tiga hingga empat nombor akaun berbeza yang diberikan kepada sindiket untuk menipu duit orang ramai. Ini menunjukkan betapa mudahnya mudahnya sindiket menjalankan kegiatan penipuan sehingga mengaut keuntungan jutaan ringgit.
“Ejen akan mengiklankan di Facebook dan media sosial kepada sesiapa yang berminat untuk menyewakan akaun dengan mendakwa digunakan untuk kegunaan permainan dalam talian walhal sebenarnya untuk sindiket jenayah.
“Ini baru satu ejen simpan beribu akaun bank. Kalau ada 50 ejen, berapa banyak akaun mule yang wujud untuk jenayah-jenayah haram,” katanya.
Tambah sumber, golongan muda antara mudah terpedaya dengan tawaran sindiket sewa akaun bagi mengaut wang dengan mudah.
“Malah ada tangkapan dilakukan pihak berkuasa terhadap pemilik-pemilik akaun mule ini yang sebenarnya mereka tidak terlibat dengan jenayah dilakukan namun akaun bank telah digunakan sindiket untuk pelbagai kegiatan haram,” ujarnya.
Menurut sumber, dalam tempoh lima tahun ini, lebih 500,000 akaun bank disyaki akaun mule disekat Bank Negara Malaysia (BNM) selepas dipercayai membuat transaksi meragukan termasuk untuk kegunaan scammer.
Jelas sumber, kesemua akaun melibatkan jumlah puluhan juta itu dikesan sistem tapisan bank berkaitan sebelum dihantar ke pihak BNM untuk proses disenarai hitam.
“Setiap transaksi meragukan, bank akan kesan dan terus sekat dahulu kemudian siasatan lanjut dijalankan bagi menentukan sama ada transaksi itu haram atau sah.
“Apabila nama individu itu masuk ke dalam sistem yang diklasifikasikan sebagai akaun keldai, secara automatik akaun bank lain-lain akan ditutup.
“Proses ini berbeza dengan pihak berkuasa apabila setiap akaun yang dilaporkan yang disyaki terlibat dengan pelbagai aktiviti-aktiviti jenayah akan disiasat terlebih sebelum sebarang tindakan selanjutnya diambil,” katanya.
PDRM sebelum ini mendedahkan sebanyak 31,438 akaun keldai dikesan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak tahun 2021 sehingga 10 Mei dan daripada jumlah itu, seramai 12,659 pemilik akaun keldai ditahan dan dituduh di mahkamah kerana membenarkan akaun digunakan untuk aktiviti jenayah. – UTUSAN










