4 cadangan dikaji bebas bankrap - Utusan Malaysia

4 cadangan dikaji bebas bankrap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Empat cadangan Jabatan Insolvensi Malaysia sedang dikaji terutamanya berkaitan implikasinya kepada orang ramai dalam usaha melakukan penambahbaikan
undang-undang insolvensi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, penelitian dan kajian itu dilakukan Bahagian Hal Ehwal Undang-Udang (BHEUU) dan Jabatan Peguam Negara (AGC) susulan taklimat berhubung penambahbaikan undang-undang insolvensi yang dibentangkan jabatan itu, Rabu lalu.

Beliau berkata, fokus utama cadangan ini adalah mempercepatkan proses pentadbiran kebankrapan dan membantu individu yang bankrap untuk keluar daripada kebankrapan dengan segera.

Katanya, cadangan melibatkan empat peruntukan iaitu penambahbaikan kepada peruntukan Seksyen 33C Akta 360 berkenaan pelepasan automatik bagi membantu lebih ramai individu yang bankrap dapat keluar daripada kebankrapan selepas tempoh tiga tahun.

“Kedua, menyasarkan untuk menetapkan had masa pemfailan Borang Bukti Hutang oleh pemiutang untuk mempercepatkan proses pelepasan kebankrapan atau pembatalan perintah kebankrapan.

“Ketiga, memansuhkan Mesyuarat Pertama Pemiutang. Cadangan untuk mesyuarat pemiutang hanya perlu diadakan berdasarkan keperluan dan permintaan pemiutang bagi mengelakkan kelengahan dan perancangan seterusnya dapat dibuat untuk membantu bankrap keluar daripada kebankrapan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Wan Junaidi berkata, cadangan yang keempat, menambah penggunaan baharu berkenaan teknologi komunikasi jarak jauh dalam urusan pentadbiran kebankrapan di mana ia dapat membantu bankrap berurusan dengan jabatan itu secara dalam talian dan digital serta memudahkan pentadbiran kebankrapan.

“Beberapa libat urus dicadangkan dengan pemegang taruh khususnya Kementerian Kewangan, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kementerian Belia dan Sukan, Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri.

“Selain itu, libat urus turut dilakukan bersama kementerian yang bertanggungjawab untuk
mengawal selia syarikat termasuk perusahaan kecil dan sederhana Malaysia serta usahawan dalam kategori mikro sebelum memuktamadkan cadangan dan dibawa ke Jemaah Menteri melalui satu Memorandum Jemaah Menteri,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan ambang keberhutangan ditingkatkan kepada RM100,000, Wan Junaidi berkata, statistik kes kebankrapan menunjukkan pola penurunan di mana 12,051 kes bagi tahun 2019; 8,351 kes bagi tahun 2020; 6,554 kes bagi tahun 2021 dan 3,604 kes bagi tahun 2022 setakat Julai lalu.

Katanya, dari sudut peratusan pula, pengurangan berbanding tahun sebelumnya direkodkan sebanyak 26.88 peratus pada 2019; 30.70 peratus (2020) dan 21.52 peratus (2021).

“Pola penurunan ini turut disebabkan beberapa faktor lain termasuk inisiatif kerajaan melalui pemberian moratorium dan bantuan bersasar bank di mana pihak pemberi pinjaman (pemiutang) dan pihak peminjam boleh berbincang bagi membuat penyusunan semula hutang.

“Meskipun terdapat penurunan kes kebankrapan pada ketika ini, jabatan akan sentiasa meneliti jumlah serta punca kes kebankarapan yang difailkan pihak pemiutang serta menambah baik Akta 360 bagi menjadikan pentadbiran kes kebankrapan lebih efisien,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN