KANGAR: Jabatan Agama Islam Perlis (JAIPs) sentiasa memantau kegiatan tidak bermoral remaja bawah umur di negeri ini dengan melaksanakan Operasi Pencegahan Jenayah Syariah secara berjadual dengan kekerapan sekurang-kurangnya sekali seminggu.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kebajikan dan Bantuan Bencana negeri, Ruzaini Rais berkata, bagi tempoh bermula Januari sehingga Ogos tahun ini, JAIPs telah melaksanakan sebanyak dua tangkapan membabitkan pelajar tingkatan Lima dan Enam mengikut kesalahan di bawah Enakmen Jenayah Dalam Syarak (EJDS) 1999.
Katanya, secara keseluruhan, JAIPs telah menjalankan sebanyak 41 operasi dengan 170 tangkapan membabitkan aktiviti tidak bermoral sekitar negeri ini.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 110 kes telah didaftarkan di Mahkamah Syariah Negeri untuk tindakan selanjutnya.
“JAIPs sebagai agensi pelaksana hal ehwal Islam sentiasa komited terhadap isu-isu berkaitan umat Islam termasuk daripada aspek pencegahan mungkar yang melibatkan penguatkuasaan khususnya kesalahan-kesalahan termaktub di bawah EJDS 1991,” katanya dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis di sini hari ini.
Ruzaini (BN-Beseri) berkata demikian sebagai maklum balas terhadap gesaan Datuk Ismail Kassim (BN-Tambun Tulang) yang berharap JAIPs mempergiatkan intipan bagi memantau masalah sosial dalam kalangan remaja bawah umur yang bertindak menyewa penginapan inap desa bagi melakukan kegiatan tidak bermoral.
Ismail sebelum ini memaklumkan terdapat segelintir pengusaha inap desa dikesan cuba mengambil kesempatan dengan membenarkan remaja bawah umur menyewa penginapan mengikut jam bagi meraih pendapatan dengan cara mudah.
Dalam pada itu, Ruzaini berkata, kes tangkapan melibatkan remaja bawah umur jarang berlaku berikutan pemilik hotel dan bilik sewa tidak menerima tempahan daripada pelajar bawah 18 tahun.
“Dalam usaha membendung gejala tidak bermoral di peringkat remaja bawah 18 tahun, JAIPs telah mengadakan kerjasama dengan Jabatan Pendidikan negeri bagi mengadakan kempen kesedaran jenayah syariah di seluruh sekolah menengah dalam Perlis,” katanya
Sementara itu, Ismail berkata, pengusaha dan penduduk setempat perlu memainkan peranan dalam melaporkan sebarang kegiatan tidak bermoral melibatkan remaja bawah umur di kawasan mereka.
Ujarnya, buat masa ini, tiada sebarang peraturan dapat digunakan bagi menghalang mana-mana pengusaha inap desa membenarkan remaja bawah umur menyewa penginapan mereka mengikut jam.
“Kita tidak boleh biarkan aktiviti sebegini berleluasa dan walaupun tangkapan melibatkan remaja bawah umur tidak begitu banyak, namun ia tidak bermakna aktiviti seperti ini tidak wujud,” katanya.- UTUSAN










