Ee Wei harap magis sertai Kejohanan Dunia

Ee Wei harap magis sertai Kejohanan Dunia

TOH Ee Wei masih menaruh harapan untuk beraksi diKejohanan Dunia 2026- UTUSAN/IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pemain beregu campuran utama negara, Toh Ee Wei enggan mengangkat bendera putih bagi mempertahan gelaran dunia biarpun kecederaan ligamen anterior cruciate (ACL) yang dialaminya dilihat hampir pasti menutup laluan ke Kejohanan Dunia 2026 di New Delhi, pada 17 hingga 23 Ogos ini.

Pemain No.4 dunia itu mengakui kecederaan tersebut datang pada waktu yang cukup sukar ketika dia dan Chen Tang Jie sepatutnya berada dalam fasa akhir persiapan mempertahankan kejuaraan yang dimenangi tahun lalu.

Bagaimanapun, Ee Wei memilih untuk terus meletakkan sedikit harapan sambil menunggu keputusan penuh laporan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) serta pandangan pakar bedah sebelum menentukan langkah seterusnya.

“Saya tidak boleh pastikan sekarang. Mungkin ada keajaiban. Itu pun bergantung sama ada Tuhan memberikan keajaiban tersebut atau tidak.

“Saya memang berharap dapat bermain, tetapi keadaan kaki saya mungkin tidak mengizinkan,” kata Ee Wei kepada pemberita ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara, semalam.

Kecederaan ACL yang dialami pemain berusia 26 tahun itu ketika aksi suku akhir Terbuka Singapura bulan lalu dijangka memerlukan tempoh pemulihan panjang, malah beliau sendiri mengakui belum mengetahui sama ada perlu menjalani pembedahan atau sebaliknya.

Menurut Ee Wei, laporan MRI dijangka diperoleh dalam tempoh beberapa hari lagi sebelum perbincangan lanjut dibuat bersama doktor, jurulatih dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

“Ini masih belum pasti lagi sebab saya perlu tunggu laporan MRI dahulu. Selepas itu baru saya akan jumpa doktor dan bincang langkah seterusnya.

“Laporan itu dijangka diperoleh dalam beberapa hari lagi sebelum saya membuat keputusan sama ada perlu menjalani pembedahan atau tidak,” katanya.

Dalam masa sama, beliau meminta Tang Jie supaya tidak menunggu kepulangannya dan terus beraksi bersama pasangan lain sepanjang tempoh pemulihan tersebut.

Malah, Ee Wei percaya peluang itu boleh membuka ruang kepada Tang Jie untuk terus berkembang walaupun gandingan mereka terpaksa direhatkan buat sementara waktu.

Untuk rekod, Tang Jie-Ee Wei Muncul juara dunia tahun lalu buat kali pertama dalam sejarah beregu campuran negara selepas menewaskan pasangan China No. 2 dunia, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin pada perlawanan akhir di Paris.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN