PETALING JAYA: Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak boleh memecat antara satu sama lain keluar Perikatan Nasional (PN) berdasarkan peruntukan perlembagaan gabungan itu.
Baik Pas mahu pun Bersatu juga tidak boleh berkomplot dengan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) untuk memecat parti anggota lain tanpa memenuhi syarat konsensus Perlembagaan PN.
Ini bermakna, mana-mana parti anggota tidak boleh disingkirkan secara unilateral, sama ada oleh satu parti anggota atau melalui sokongan majoriti parti anggota lain.
Exco Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Na’im Brundage berkata, perkara itu jelas terkandung dalam Fasal Majlis Tertinggi yang perlu dibaca bersama struktur kuasa Majlis Presiden dalam Perlembagaan PN.
“Pertama, Fasal 8.4(VI) memperuntukkan Majlis Tertinggi mempunyai tanggungjawab dan kuasa untuk mewujudkan Jawatankuasa Tatatertib bagi mengendalikan hal-hal berkaitan disiplin parti anggota.
“Kedua, Fasal 8.4(III), dibaca bersama Fasal 15, memberikan kuasa kepada Majlis Tertinggi untuk memutuskan dan mengambil tindakan tatatertib terhadap mana-mana parti anggota.
“Tindakan tersebut boleh merangkumi amaran, penggantungan atau pemecatan, sekiranya sesuatu parti anggota didapati melakukan perkara bertentangan dengan kepentingan PN.
“Namun begitu, kuasa Majlis Tertinggi ini tidak boleh dibaca secara berasingan daripada struktur kuasa Majlis Presiden. Di bawah Fasal 7A.1(c), keputusan muktamad berhubung perkara-perkara berkaitan disiplin parti anggota terletak secara mutlak kepada Majlis Presiden.
“Seterusnya, Fasal 7A.3 menetapkan korum mesyuarat Majlis Presiden memerlukan kehadiran semua presiden parti anggota atau wakil sah yang dinamakan secara bertulis. Paling penting adalah Fasal 7A.4 menetapkan apa-apa keputusan Majlis Presiden hendaklah dibuat secara konsensus,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Na’im berkata, berdasarkan peruntukan-peruntukan itu, tiada mana-mana parti anggota boleh memecat parti anggota lain secara unilateral atau melalui undian majoriti biasa.
Ini kerana, jelasnya sesuatu keputusan muktamad berkaitan disiplin parti anggota termasuk pemecatan perlu diputuskan oleh Majlis Presiden secara konsensus, mematuhi sepenuhnya proses dan korum sebagaimana diperuntukkan dalam Perlembagaan PN.
Sekiranya tiada konsensus dicapai, beliau berkata, keadaan itu juga berpotensi mewujudkan ‘deadlock’ dalam proses penentuan kerusi dan calon pilihan raya PN.
“Berdasarkan Fasal 7A.1(b), Majlis Presiden mempunyai kuasa untuk membuat keputusan muktamad mengenai ketetapan kerusi pilihan raya selepas dirujuk oleh Jawatankuasa Rundingan Kerusi.
“Memandangkan Fasal 7A.4 menetapkan keputusan Majlis Presiden hendaklah dibuat secara konsensus, maka sebarang keputusan berkaitan pembahagian kerusi dan pencalonan pilihan raya perlu mendapat persetujuan sebulat suara daripada semua presiden parti anggota,” katanya.
Justeru, jalan penyelesaian paling munasabah bagi mengakhiri kemelut ini kata Na’im, sama ada Pas dan Bersatu kembali bekerjasama bagi membentuk konsensus dalam kerangka PN atau mana-mana parti yang tidak lagi bersetuju dengan hala tuju gabungan membuat keputusan politik untuk keluar daripada PN.
“Selagi parti-parti tersebut kekal sebagai parti anggota PN, maka semua keputusan utama yang tertakluk kepada Majlis Presiden perlu terus dibuat berdasarkan prinsip konsensus seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan PN,” katanya. – UTUSAN










