SEREMBAN: Pemain industri diingatkan untuk sentiasa menitikberatkan aspek penyelenggaraan kebakaran bagi mengelak insiden yang boleh meragut nyawa penghuni bangunan pencakar langit di negara ini.
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, ia selepas Malaysia merekodkan lebih 1,000 bangunan pencakar langit, iaitu antara terbanyak di negara Asia pada tahun ini.
“Mengikut standard piawaian, bangunan pencakar langit didefinisikan sebagai bangunan melebihi 150 meter. Kalau kita lihat rata-rata bangunan kediaman di Malaysia terutama di kawasan bandar dikategori bangunan pencakar langit,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Kesedaran Keselamatan Kebakaran, Penyelenggaraan dan Penguatkuasaan Dalam Bangunan Peringkat Negeri Sembilan di sini hari ini.
Menurut Mohammad Hamdan, data bangunan pencakar langit itu diperoleh melalui kajian yang dilakukan oleh sebuah pihak swasta.
“Berdasarkan kajian rekod pada tahun 2019 sahaja terdapat lebih 900 bangunan pencakar langit dan melihat kepada perkembangan semasa pada tahun ini kami boleh katakan ada lebih 1,000 buah bangunan.
“Tiada masalah untuk projek pembinaan bangunan pencakar langit selagi pemain industri mematuhi peruntukan undang-undang dan keperluan teknikal dengan penyelenggaran yang baik,” katanya.
Jelas beliau, penyelenggaraan peralatan menentang kebakaran di dalam setiap bangunan adalah penting sekali gus bagi memastikan kemudahan itu berfungsi dengan baik sekiranya berlaku sebarang kebakaran.
“Orang selalu bertanya berapa tinggi tangga cakra putar yang bomba ada? Ada atau tidak helikopter yang boleh digunakan untuk memadam kebakaran? Tetapi sebenarnya dalam aspek kebombaan di seluruh dunia, memadam kebakaran perlu bermula dari punca bagi memastikan ia boleh dikawal sepenuhnya,” katanya.
Mohammad Hamdan berkata, penggunaan helikopter pula hanya diperlukan bagi tujuan tertentu seperti pengawasan, komunikasi dan penghantaran peralatan logistik.
Dalam pada itu, beliau berkata, bagi tahun lalu JBPM telah menerima permohonan sebanyak 21,300 pelan akitektural dan pelan mekanikal elektrik bagi pembinaan dan pembangunan struktur baharu.
“Daripada jumlah tersebut hanya 12,355 yang telah lulus dan 8,945 gagal manakala pemeriksaan untuk tujuan kelulusan Perakuan Siap dan Pemantuhan (CCC) sebanyak 3,140 pemeriksaan yang telah dibuat dan hanya 2,803 yang telah lulus,” katanya. – UTUSAN









