PEKAN: Kira-kira 10 kampung yang terletak antara Jambatan Paloh Inai dan Kampung Lubuk Paku sejauh kira-kira 50 kilometer di pesisir Sungai Pahang bakal pupus ekoran kehilangan tarikan ekonomi disebabkan penerokaan hutan dan perlombongan hingga menjejaskan ekosistem terutama di Tasik Chini.
Setakat ini sejak dari tahun 1960-an 15 buah kampung di kawasan terbabit telah disahkan lenyap daripada peta dan 10 buah lagi bakal menyusul jika kecenderungan generasi muda berpindah dan enggan bermastautin berterusan.
Ini kerana sebelum ini kampung-kampung terbabit menumpang limpahan ekonomi daripada aktiviti pelancongan di Tasik Chini yang popular kerana cerita mitos dan legenda seperti naga, kota yang hilang dan buaya putih.

Tasik itu juga tersohor kerana diiktiraf sebagai Rizab Biosfera oleh Pertubuhan Pendidikan Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) pada Julai 2009.
Namun, sejak Julai lalu isu pengiktirafan UNESCO terhadap Tasik Chini mencetuskan kontroversi. Sebabnya, tinjauan berkala pertama badan tersebut mendapati tasik itu tidak lagi memenuhi kriteria untuk menjadi sebahagian daripada Rangkaian Rizab Biosfera Dunia (WNBR) mereka.
Tasik yang amat penting kepada ekonomi penduduk sekitarnya terutama dalam ekopelancongan selain menawarkan peluang pekerjaan dan menjana ekonomi kini semakin nazak.
Tinjauan dari Kampung Lubuk Paku ke Paloh Hinai dan merentasi Sungai Pahang ke Kampung Kuala Sungai Chini mendapati, sejumlah 10 kampung kini di ambang kepupusan kerana tiada lagi generasi muda yang mahu menetap dan mewarisi kampung-kampung tersebut. – UTUSAN










