10 kali banjir kilat, penduduk sudah tak tahan - Utusan Malaysia

10 kali banjir kilat, penduduk sudah tak tahan

NOOR Eziani Fauzi membersihkan rumahnya di Kampung Mohd. Amin, Johor Bahru yang dinaiki air banjir baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Dalam masa kurang setahun, lebih 10 kejadian banjir kilat berlaku di Kampung Mohd. Amin di sini termasuk kelmarin yang menyebabkan kediaman penduduk dinaiki air sehingga ke paras pinggang.

Seorang penduduk, Noor Eziani Fauzi, 36, berkata, hujan lebat bermula pukul 11 pagi selama lebih sejam menyebabkan air mula memasuki rumahnya.

Keadaan itu menyebabkan dia dan suami, Mohd. Shahril Jamian, 40, panik dan pantas memindahkan perabot serta barangan elektrik ke rumah kakaknya yang terletak di tingkat atas.

“Kejadian itu berlaku sekelip mata, sedar-sedar paras air semakin tinggi sehingga tidak sempat menyelamatkan pakaian, kelengkapan persekolahan termasuk kasut sekolah anak serta barangan dapur turut hanyut dibawa air.

“Beginilah nasib penduduk Kampung Mohd. Amin yang dikellilingi kawasan bangunan tinggi dan berbukit, menyebabkan air dari atas bertembung dengan air pasang dari Sungai Chat kira-kira 300 meter dari sini.

“Sejak Oktober lalu, sudah 10 kali banjir kilat berlaku di kampung ini. Kami di sini amat risau setiap kali hujan lebat berterusan kerana khuatir banjir kilat berulang,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.

Noor Eziani berkata, cuaca mendung dan hujan sejak pagi turut menimbulkan kerisauan jika berlaku banjir kilat sekali lagi setelah ramalan cuaca buruk dijangka berterusan hingga hari mendatang.

Tinjauan Utusan Malaysia di kawasan kampung berkenaan mendapati, penduduk sibuk membersihkan rumah selain membuang perabot dan tilam yang rosak ditenggelami air banjir.

Kelmarin hujan lebat dengan kadar intensiti hampir 100 milimeter (mm) bermula tengah hari serta air pasang besar dengan ketinggian 3.3 meter dilaporkan menjadi punca beberapa lokasi di pusat bandar raya ini dilanda banjir kilat.

Selain Kampung Mohd. Amin, turut terkesan ialah Jalan Ayer Molek; Jalan Yahya Awal; Jalan Mahmoodiah; Jalan Wong Ah Fook; Jalan Kolam Ayer dan Jalan Tun Abdul Razak.

Dilaporkan lebih 500 kenderaan terjejas akibat banjir kilat yang melanda bandar raya ini pada pukul 1.30 petang.

Sementara itu, seorang lagi penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Lala, 39, berkata, Sungai Chat yang semakin cetek menyebabkan kejadian banjir kilat semakin kerap melanda kampung tersebut.

Keadaan parit di kawasan kampung itu yang sudah lama tidak diselenggara turut menjadi faktor penyumbang banjir kilat setelah sistem pengairan tidak berfungsi dengan baik.

“Sebelum ini, terdapat pihak berkenaan yang menyelenggara parit dan Sungai Chat berkenaan, namun keadaannya berubah sejak tahun lalu.

“Kampung ini terletak di kawasan rendah bersebelahan bukit dan sungai. Hidup kami jadi tidak tenteram apabila terdengar guruh di langit, khuatir hujan lebat lebih-lebih lagi apabila kami keluar bekerja,” katanya sambil berharap pihak berkaitan memeriksa dan menyelenggara saluran parit dan Sungai Chat yang terletak berhampiran. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN