PUTRAJAYA: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) bercadang untuk bertemu Siti Nuramira Abdullah dan pihak-pihak yang dipercayai terlibat selepas didakwa menghina Islam ketika membuat persembahan di sebuah kelab komedi.
Yang Dipertuanya, Nasrudin Hassan berkata, perjumpaan itu bertujuan memberikan penjelasan tentang Islam sebenar dan menyatakan betapa tindakan itu merupakan kesalahan besar dalam agama.
Dengan cara itu, kata beliau, ia diharap dapat menasihatkan wanita itu untuk kembali ke pangkal jalan atau sekurang-kurangnya mengakui kesalahan itu seterusnya menyatakan kekesalan dan membuat perubahan.
“(Penghinaan Islam) itu satu daripada episod malang yang berlaku dalam sebuah negara bertamadun. Tak sepatutnya mana-mana pihak terutama orang Islam sendiri menghina agama yang dia anuti. Ini sangat mengecewakan dan memalukan.
“Yadim fokus kepada dakwah. Apabila ada pihak berbuat sedemikian, kita ambil peluang cari jalan jumpa mereka dan beri penjelasan tentang Islam.
“Kita juga menasihatkan agar apa jua premis tidak kira untuk kategori hiburan atau majlis bersifat umum, jangan digunakan untuk menghina agama Allah. Kalau berlaku memang wajar ia ditutup kerana membawa kepada keburukan,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Penghargaan dan Ramah Mesra Bersama Media, di sini hari ini.
Sebelum ini, tular video berdurasi 54 saat menunjukkan seorang wanita tampil berpakaian sopan dalam satu majlis di sebuah kelab komedi di TTDI.
Dalam video berkenaan, wanita itu mendakwa dirinya beragama Islam serta menghafal 15 juzuk al-Quran sebelum secara tiba-tiba dia menanggalkan baju kurung serta tudung hingga mendedahkan auratnya.
Ekoran itu, wanita terbabit didakwa di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menghina Islam ketika membuat persembahan di sebuah kelab komedi, bulan lalu.
Sementara itu, Nasrudin berkata, Yadim akan menubuhkan Skuad Duat Siber (SDS) bagi menjawab isu-isu penghinaan dan persendaan Islam di media sosial.
Menurutnya, pasukan skuad itu terdiri daripada ilmuan agama dan berkemahiran dalam berdakwah yang boleh menyampaikan maklumat secara berstrategi.
“Kita lihat ada dalam kalangan mereka dikurniakan ilmu tetapi seni berdakwah kurang sehingga menjadikan media sosial sebagai tempat bergaduh pula bukannya tempat menyampaikan Islam secara berhikmah,” katanya.
Pada majlis itu, Yadim menerusi Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kamarul Arief Tuan Soh turut membentangkan kad laporan prestasi yayasan itu bagi tempoh dua tahun iaitu 16 Julai 2020 hingga hari ini..
Sebanyak 15,759 program dilaksanakan Yadim melibatkan hampir 6 juta peserta iaitu 547,644 penyertaan secara fizikal dan 5,347,972 peserta dalam talian. – UTUSAN










