KOTA BHARU: Seorang warga emas, Omar Ngah, 78, yang sebelum ini cedera parah selepas disondol seekor babi hutan semasa mengutip buah durian di kebun berhampiran rumahnya di Taman Desa Wangi, Kampung Kubang Siput, Pasir Tumboh di sini, dilaporkan stabil.
Anak bongsu kepada Omar, Azlan, 44, berkata, susulan kejadian itu bapanya akan menjalani rawatan ortopedik selepas disahkan mengalami kecederaan dalaman akibat digigit babi hutan semasa bergelut dengan haiwan itu.
“Alhamdulillah, bapa makin stabil dan masih dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian di sini,” katanya.
Utusan Online pada 6 Julai lalu melaporkan, Omar mengalami kecederaan di kepala, pendarahan di bahagian telinga dan kedua-dua belah tangan selepas bergelut selama lima minit dengan haiwan berkenaan.
Sementara itu, seramai 50 penduduk di empat buah kampung di sekitar kawasan Pasir Tumboh di sini mengadakan program gotong-royong untuk menghalau babi hutan hari ini.
Seorang penduduk, Nik Rosli Nik Man, 52, berkata, penduduk empat buah kampung membuat gotong-royong menghalau babi hutan selepas seorang warga emas, Omar Ngah, 78, cedera parah akibat disondol haiwan berkenaan.
Katanya, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) sudah memasang perangkap di dusun durian bersebelahan rumah mangsa untuk menangkap babi hutan petang semalam.
“Masih banyak lagi babi hutan berkeliaran di kawasan dusun apabila kita lihat kesan sondolan pada pokok kelapa, pisang dan buah-buahan lain. Ada penduduk melihat haiwan tersebut berkeliaran di kawasan perumahan pada awal pagi dan waktu senja.
“Penduduk berharap Perhilitan dapat mencari jalan penyelesaian masalah babi hutan di sini kerana kebanyakan penduduk bimbang kejadian serangan haiwan tersebut berulang,” ujarnya. – UTUSAN