Tentang golongan mabuk kuasa pecah belah perpaduan

Tentang golongan mabuk kuasa pecah belah perpaduan

SULTAN Nazrin Muizzuddin Shah bertitah pada Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda yang ke-69 di Istana Iskandariah di Kuala Kangsar. – UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KANGSAR: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menegaskan bahawa sebarang perbuatan yang berpo­tensi memecahbelahkan perpaduan dan hubungan harmoni antara kaum di negara ini wajib ditentang secara tegas.

Baginda bertitah, usaha me­nyatupadukan rakyat tidak akan mudah dicapai sekiranya masih wujud segelintir pihak yang mabuk kuasa, memilih mensensasikan isu kaum, agama, negeri dan wilayah.

Titah baginda, tindakan ti­dak bertanggungjawab itu ha­nya akan menggugat kehar­mo­nian dan menjejaskan hu­bungan antara kaum ketika ne­gara sepatutnya menumpukan usaha mematangkan ker­jasama serta mengukuhkan persefahaman yang dibina pe­mimpin terdahulu.

“Negara ini jangan dijadikan rumah sengketa, tempat ber­pesta dalam kalangan insan yang mabuk kuasa.

“Merdeka itu bakal hancur maknanya apabila lidah sebahagian rakyat bersifat lebih bisa daripada anak panah beracun, memilih meracuni fikiran rakyat,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah demikian pada Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda yang ke-69 di Istana Iskandariah di sini semalam.

Baginda bertitah, rakyat diingatkan agar mempertahankan perpaduan yang menjadi teras kekuatan dan kemakmuran negara sejak sekian lama.

Titah baginda, perpaduan yang terbina antara rakyat berbilang kaum, agama dan budaya adalah hasil kebijaksanaan nenek moyang yang berusaha mewujudkan keharmonian bersama.

“Tikar merdeka yang diham­parkan kepada kita ialah hasil tangan anyaman nenek mo­yang kita secara bersama, secara bijak nenek moyang kita menganyam mengkuang pelbagai warna, disulam menjadi sebidang tikar untuk dijadikan tempat duduk mengalas kehi­dupan, membolehkan anak cu­cu melunjur sila di padang da­mai Malaysia.

“Warga yang patriotik, warga yang berjiwa Malaysia wajib mempertahankan perpaduan yang telah lama teranyam an­tara kaum yang menganuti pel­bagai agama, mewarisi pelbagai budaya dan menguasai pelbagai bahasa.

“Perpaduan ialah asas pen­ting untuk menjamin kelangsungan, kerukunan, kemakmuran dan kemerdekaan negara ini,” ujar baginda.

Sultan Nazrin bertitah, sejarah mencatatkan kemerdekaan negara diperoleh melalui kebijaksanaan diplomasi, kearifan mentafsir isu yang sangat membimbangkan pentadbir kolonial dan persepakatan yang dicapai oleh rakyat pelbagai kaum di bumi ini.

Baginda bertitah, hakikat sejarah tidak boleh dipadam di mana kemerdekaan dan pembangunan negara ini dicapai me­lalui perjuangan semua. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×