“MATILAH aku kali ini,” bisik hati saya. Mula timbul rasa cuak.
Mana tidaknya, baru beberapa ratus meter keluar dari bilik pameran Indian Motorcycle di Petaling Jaya, berderet kenderaan dalam kesesakan lalu lintas di depan saya. Baru seminit dua pegang hendal Scout 101, masih belum serasi lagi.
Nak labuhkan kaki pun masih terkial-kial berikutan tempat letaknya yang jauh ke depan. Samalah juga dengan bar hendal hinggakan kedua-dua tangan dan kaki terpaksa dilunjur semasa menunggang.
Terbayang dalam kepala, betapa seksanya nak mengendalikan motosikal kruiser seberat 249 kilogram (kg) ini dengan gaya tunggangan agresif sedemikian. Nampak gaya terpaksa ikut sahajalah di belakang kereta, tidak mampu mencelah seperti kapcai.
Bagaimanapun, sangkaan saya meleset sama sekali. Memanglah 249 kg itu berat untuk sebuah motosikal tapi tidak apabila menunggang Scout 101.
Reka bentuk dengan pusat graviti yang rendah menyalurkan beban itu ke bahagian bawah motosikal menyebabkan ia terasa ringan dan stabil dikendalikan meskipun pada kelajuan rendah. Ditambah tinggi tempat duduk hanya 680 milimeter (mm), saya yang berketinggian 160 sentimeter (cm) mampu mencecah sepenuhnya tapak kaki pada tanah.
Tidak seperti motosikal-motosikal berkuasa tinggi yang pernah saya tunggang uji sebelum ini, terpaksa berjengket ketika di berhenti di simpang atau lampu isyarat merah. Sambil melenggok-lenggok bar hendal ke kiri kanan agar tidak tersangkut pada cermin sisi kereta, kedua-dua kaki mencecah tanah untuk mengimbangi Scout 101.

Saya mencelah antara kenderaan lain mengekori rapat kapcai dan skuter. Jadi, keluar masuk bandar atau nak buat ulang alik pergi kerja bukan masalah bagi Scout 101.
Scout 101 merupakan varian tertinggi dalam barisan Indian Scout 2025 keluaran Indian Motorcycle, iaitu jenama motosikal pertama dari Amerika Syarikat (AS) diasaskan pada
- Terdapat lima varian kesemuanya yang mengekalkan gaya serta asid deoksiribonukleik (DNA) reka bentuk asli Scout.
Diasaskan di Springfield, Massachusetts, Indian Motorcycle bermula dengan penghasilan basikal berkuasa motor dilengkapi enjin V berkembar yang turut digunakan dalam perlumbaan seawal tahun 1900-an.
Indian Motorcycle juga membekalkan 50,000 buah motosikal untuk kegunaan tentera AS semasa Perang Dunia Pertama.
Esoknya saya ke Lanchang, Pahang yang terletak kira-kira 135 kilometer (km) dari tempat tinggal di Ampang. Sekali lagi saya risau.
Bimbang gaya tunggangan agresif dengan kaki dan tangan melunjur jauh ke depan akan membuatkan saya mudah stres serta letih untuk perjalanan jauh. Tidak pasti berapa jauh atau berapa lama saya mampu bertahan dalam kedudukan sedemikian.
Dari Ampang saya memasuki Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (Karak). Dengan enjin penyejukan cecair Speed Plus V-Twin 60 darjah, berkapasiti 1,250 cc yang
menghasilkan 111 kuasa kuda (hp) dan tork 111 Newton meter (Nm) pada 6,300 putaran per minit (rpm), ia sudah cukup berkuasa bagi sebuah kruiser.
Dengan gear enam kelajuan, ia meluncur tangkas dan bertenaga menyusuri selekoh-selekoh panjang. Adanya sistem kawalan cengkaman, sistem brek antikunci (ABS) dan brek jenis Brembo, juga tayar Metzeler Cruisetec bersaiz 19 inci (depan) dan 13 inci (belakang), pastinya memberikan keyakinan dan keseronokan dalam apa juga keadaan cuaca termasuk buat kaki leper.
Selepas Plaza Tol Bentong, saya masuk ke Lebuh Raya Lingkaran Tengah Utama.
Saya memberanikan diri pulas lebih luas pendikit di jalan lurus dan semasa jumlah kenderaan sedikit untuk melihat keupayaannya.
Masih menunggang dalam mod Standard, ia begitu stabil dan terkawal dalam kelajuan tinggi meskipun ada beberapa kawasan laluannya beralun. Adanya penghadang angin (flyscreen) membantu mengurangkan tamparan angin pada muka dan badan.

Saya kemudiannya memasuki jalan kampung di Mempaga. Seperti juga di lebuh raya, Scout 101 meluncur tangkas di laluan-laluan sempit berbengkang-bengkok, juga semasa memotong deretan kenderaan mahupun treler.
Saya sampai di destinasi dituju kira-kira sejam kemudian. Yang mengagumkan, saya mampu meneruskan perjalanan tanpa perlu berhenti untuk meregangkan otot dan badan.
Kedudukan ergonomik penunggang di mana tangan dan kaki melunjur jauh ke depan mengurangkan keletihan bagi tunggangan jarak jauh dan lama. Ditambah pemasangan penaik bar hendal enam inci selain tempat duduk solo dengan penyudah mewah tanpa rasa seperti duduk berlapikkan span membuatkan saya sangat selesa.
Penunggang juga boleh melaraskan kedudukan tunggangan ikut keselesaan sendiri pada suspensi piggyback di bahagian belakang dengan jari sahaja. Keesokan hari saya naik Genting Highlands. Menggunakan mod Sport, dapat dirasakan kuasa enjinnya lebih agresif setiap kali pendikit dipulas.
Namun, konsentrasi saya sedikit terganggu kerana tanda amaran bahan api menyala meskipun paras tangki berkapasiti 13 liter masih berbaki lebih suku. Mod tunggangan Rain tidak berpeluang saya cuba kerana cuaca begitu baik sepanjang tempoh tunggang uji!
Setelah mengharungi jumlah jarak perjalanan sejauh 430 km, saya berpandangan Scout 101 adalah sebuah kruiser yang mampu memenuhi setiap keperluan dan kehendak para penunggang yang sukakan motosikal jenis itu. Bukan sekadar ketangkasan pada kuasa enjin yang menjadi jantung dan nyawa Scout 101, ciri-ciri moden lain juga memainkan peranan sama.
Antaranya pemuka sesentuh yang boleh digunakan walaupun sedang memakai sarung tangan. Juga boleh menggunakan punat di sebelah kiri bar hendal. Ia mengandungi maklumat hibur yang memaparkan suhu enjin, voltan bateri, tahap bahan api, suhu udara, waktu dan arah kompas.
Juga maklumat semasa seperti waktu tunggangan, jarak perjalanan, masa bergerak, masa berhenti dan perubahan ketinggian muka bumi. Penunggang mempunyai dua pilihan paparan meter laju, iaitu analog dan digital.
Sistem penghidup tanpa kunci dan paparan hablur cecair (LCD) transistor filem nipis (TFT) empat inci dilengkapi teknologi Ride Command. LCD TFT turut menyokong sambungan bluetooth, aplikasi peranti pintar, sistem navigasi dengan fungsi arahan penunjuk arah serta slot pengecasan peranti pintar dengan soket USB.
Bagaimanapun, seperkara yang saya kurang senang sepanjang tunggangan adalah bahang dari ekzos. Saya sering kali terpaksa menjarakkan betis kanan dari badan motosikal jika sudah tidak tahan hawa panas!
Dengan dua pilihan warna iaitu merah dan putih pada harga RM139,600, amat berbaloi menjadi pemilik Scout 101 Indian Motorcycle. – UTUSAN









