PETALING JAYA: Peletakan jawatan Datuk Ewon Benedick sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi kelmarin, memaksa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melakukan rombakan Kabinet yang dijangka diadakan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17.
Keputusan mengejut Ewon itu menjadikan empat kementerian kosong selepas bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli dan bekas Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad meletakkan jawatan masing-masing sebagai Menteri Ekonomi dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Tengku Zafrul Abd. Aziz pula akan mengakhiri tempoh senatornya pada Disember depan.
Geostrategis dan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Prof. Dr. Azmi Hassan berkata, penstrukturan semula Kabinet bergantung kepada komposisi kerajaan negeri yang bakal dibentuk serta tahap kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan.
Katanya, langkah berkenaan penting bagi memastikan kesinambungan pelaksanaan dasar kerajaan, terutama dalam aspek ekonomi dan sosial.
“Proses ini perlu mengambil kira pembahagian kuota jawatan bagi setiap parti dalam kerajaan bagi mengekalkan keseimbangan dalam Kabinet.
“Portfolio penting seperti Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri serta Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam tidak boleh dibiarkan kosong terlalu lama. Tambahan pula, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Datuk Seri Rafizi Ramli telah melepaskan jawatan, manakala Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz akan tamat tempoh sebagai senator tidak lama lagi,” katanya.
Pelantikan semula senator Datuk Seri Zambry Abd. Kadir katanya, dijangka berlaku kerana UMNO mempunyai kuota yang boleh diisi semula.
“Keadaan ini bukan menunjukkan ketidakstabilan Kerajaan Persekutuan, tetapi mencerminkan cabaran dalam penyusunan semula Kabinet, yang kini melibatkan 18 parti dengan kuota tertentu bagi jawatan menteri, timbalan menteri dan senator,” katanya.
Sementara itu, Pensyarah Pusat Perdana Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Madya Dr. Mazlan Ali berkata, rombakan Kabinet sepatutnya dilakukan segera untuk memastikan dasar kerajaan tidak terganggu, namun, Perdana Menteri dilihat menunggu masa paling sesuai, dipercayai selepas PRN Sabah, bagi memastikan keputusan dibuat dengan pertimbangan politik yang matang.
“Kekosongan jawatan ini memberi cabaran dalam memilih tokoh yang benar-benar layak menggantikan menteri-menteri yang meletakkan jawatan. Ia juga boleh dimanipulasi pembangkang untuk menonjolkan seolah-olah kerajaan tidak mengambil serius soal pelantikan,” katanya.
Dengan PRN Sabah yang semakin hampir, ramai pihak menantikan langkah strategik kerajaan dalam memastikan keseimbangan politik dan kesinambungan pentadbiran negara tetap terpelihara, sambil mengekalkan kecekapan pelaksanaan dasar negara.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Datuk Dr. Sivamurugan Pandian berkata, pelantikan anggota Kabinet merupakan kuasa prerogetif Perdana Menteri yang menasihati Yang di-Pertuan Agong.
Katanya, lazimnya, pelantikan Menteri Kabinet akan mengambil kira kuota parti gabungan besar yang membentuk kerajaan namun rombakan yang dijangka berlaku pada Disember depan dibuat secara strategik namun mungkin bukan besar-besaran.
“Dalam konteks ini, rombakan Kabinet yang akan berlaku adalah untuk persediaan kerajaan menghadapi PRU16 (Pilihan Raya Umum Ke-16). Perdana Menteri mahu memperkukuhkan pasukan utamanya menjelang tempoh dua tahun terakhir,” katanya. – UTUSAN










