Tiada kolam pecah atas Gunung Inas

Tiada kolam pecah atas Gunung Inas – Sanusi

SALAH satu kolam yang dibina pengusaha tanaman durian Musang King yang dipercayai menjadi penyumbang kepada tragedi kepala air dan banjir lumpur di Kampung Iboi, Kupang. Baling, Kedah. - UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALING: Tiada kolam takungan air di atas Gunung Inas bagi projek tanaman Musang King pecah yang dikatakan penyebab kepada tragedi kepala air dan banjir lumpur pada petang Isnin lalu di Sungai Kupang, Kampung Iboi, di sini.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, dapatan itu berdasarkan tinjauan udara yang dilakukan oleh beliau sendiri bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), semalam.

Beliau berkata, takungan dibina di kawasan tanaman berkenaan masih ada dan takungan tempat pengumpulan air untuk dipam masuk ke kolam itu juga masih wujud di sana.

Oleh demikian, katanya, hasil terkini mendapati sumber air yang terkumpul terlalu banyak di Gunung Inas sebelum mengalir laju melalui puluhan cerun ke Sungai Kupang dipercayai menjadi punca bencana terbabit.

“Tiada pecahan, rekahan atau jatuhan tebing berlaku. Menariknya juga, sepanjang aliran air itu pokok-pokok besar masih ada iaitu pokok yang tidak ditebang sewaktu kawasan ini dicerahkan untuk dibangunkan ladang hutan.

“Buat masa ini, itu merupakan kesimpulan yang boleh diberi hasil tinjauan melalui udara di kawasan aliran air di Gunung Inas sehingga ke kawasan tanaman Musang King yang dikatakan menjadi punca kepada kejadian berkenaan.

“Saya dapati air terkumpul banyak dalam satu masa dan ada berpuluh-puluh lorong yang terbentuk di Gunung Inas yang mengalir ke bawah di sudut cerun yang sangat curam dan menyebabkan air bergerak laju di Lata Celak dalam tempoh serentak,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan, kewujudan kolam tadahan untuk projek tanaman durian di Gunung Inas itu dipercayai turut menyumbang kepada kejadian kepala air dan banjir lumpur di Kampung Iboi.

Difahamkan, terdapat beberapa kolam yang dibina pengusaha durian Musang King di situ sebelum ini, kemudian diarah untuk menghentikan operasi pada 2020.

Tinjauan juga mendapati salah satu daripadanya berkeadaan baik, namun kemungkinan limpahan hujan pada hari kejadian mengakibatkan aliran air dari kolam-kolam tadahan itu masuk serentak ke Sungai Kupang sehingga membentuk kepala air.

MUHAMMAD SANUSI MD. NOR

Menurut Muhammad Sanusi, menerusi tinjauan itu juga, beliau dapat meninjau kawasan bencana dan melihat secara menyeluruh laluan aliran air yang berpunca dari Gunung Inas sehingga ke kawasan bencana dan Pekan Kupang.

“Jadi kesimpulan pada masa ini sebelum mendapat laporan daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) adalah aliran air bergerak laju di cerun yang curam daripada sumber air yang terlalu banyak dan bercantum menjadi satu aliran di Lata Celak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN