PASIR GUDANG: Tawaran penyelesaian RM1.5 bilion yang dibuat Low Taek Jho atau Jho Low kepada kerajaan berkaitan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membuktikan lelaki dalam buruan itu memang bersalah terhadap semua pertuduhan yang dikenakan.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, keputusan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menolak tawaran itu yang diaturkan bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali adalah tepat dan betul.
Beliau yang merupakan Ahli Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) SPRM memberitahu, Jho Low telah didakwa di mahkamah Amerika Syarikat dan Malaysia atas pertuduhan terlibat dengan kesalahan jenayah kerana menipu syarikat 1MDB dan kerajaan Malaysia melibatkan jumlah berpuluh bilion ringgit.
“Mana boleh berlaku tawar-menawar antara si penjenayah Jho Low dengan kerajaan Malaysia. Adakah sistem keadilan di Malaysia boleh dijual beli dengan tawaran RM1.5 bilion daripada Jho Low,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tegasnya, perbuatan Jho Low itu satu cubaan merasuah kerajaan Malaysia yang dengan jelas memandang rendah sistem kehakiman negara sehingga semuanya mahu dijual beli.
“Adakah pada pandangan Jho Low bahawa Jabatan Peguam Negara, badan kehakiman Malaysia sanggup bersekongkol dengan penjenayah sepertinya dan boleh diajak berunding tawar-menawar untuk menggugurkan pertuduhan ke atas dirinya jika ada harga yang sesuai boleh dibayar,” katanya sambil mengucapkan syabas kepada Idrus, pegawai Jabatan Peguam Negara dan pegawai SPRM yang mengambil pendirian tegas dengan menolak tawaran Jho Low yang biadab itu.
Menurutnya, jika Jho Low mempunyai maruah dan berasa tidak bersalah, maka dia patut pulang ke Malaysia untuk menghadapi pertuduhan di mahkamah dan bukan melarikan diri serta bersembunyi di negara lain.
“Tindakan Jho Low melantik firma guaman Kobre & Kin yang berpejabat di Washington dan seterusnya firma guaman dari Amerika Syarikat itu melantik pula Mohamed Apandi sebagai perantara perunding dengan kerajaan Malaysia, maka tindakan Jho Low adalah pengakuan bahawa dia telah berbuat kesalahan jenayah menipu syarikat 1MDB dan kerajaan Malaysia.
“Apa yang menyedihkan Mohamed Apandi tergamak menjadi orang perantara antara Jho Low untuk berunding dengan kerajaan Malaysia. Adakah betul dari segi undang-undang jenayah di Malaysia bahawa pertuduhan kesalahan jenayah di mahkamah boleh digugurkan jika ada bayaran wang dibuat, apatah lagi jika bayarannya besar seperti RM1.5 bilion?
“Tidakkah bekas Peguam Negara, Mohamed Apandi Ali menyedari bahawa Jho Low telah terlibat dalam jenayah penipuan skandal 1MDB yang menyebabkan kerajaan Malaysia mengalami kerugian berjumlah lebih RM50 bilion?” Soalnya. – UTUSAN










