JOHOR BAHRU: Walaupun baru beberapa hari pemansuhan subsidi bagi beberapa barangan keperluan harian, namun sudah ada desakan daripada orang ramai supaya perkara itu dilaksanakan semula.
Seorang pengguna, D. Dinesh, 34, mengakui selepas subsidi dimansuhkan, harga barangan asas seperti minyak masak terus meningkat dengan mendadak.
Menurutnya, peningkatan barangan keperluan itu membebankan golongan berpendapatan rendah sepertinya kerana hanya bekerja sebagai pengawal keselamatan.
“Sebelum ini kos sara hidup memang sudah meningkat, tetapi sejak 1 Julai lalu harga barangan asas semua semakin naik. Minyak peket 1 kilogram pula sukar untuk diperoleh.
“Namun, apabila melihat harga minyak botol 5 kg meningkat sehingga RM40 lebih, buat saya terfikir sama ada mampu atau tidak untuk membeli kerana hanya saya seorang yang bekerja dan isteri pula menjadi suri rumah.
“Jadi, saya amat berharap kerajaan dapat laksanakan semula pemberian subsidi bagi barangan keperluan asas untuk kesejahteraan rakyat, khususnya yang berpendapatan rendah,” kata bapa seorang anak itu kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Seorang lagi pengguna, Md. Arif Yauni, 70, juga mengakui peningkatan harga minyak telah memberi kesan terhadap perniagaan menjual sarapan yang dijalankannya secara kecil-kecilan bersama keluarga.
“Saya dan keluarga berniaga nasi lemak dengan beberapa pilihan lauk seperti ayam goreng, telur goreng dan telur rebus. Jadi, memang banyak menggunakan barangan seperti minyak, ayam dan telur.
“Apabila harga ketiga-tiga barangan itu meningkat dengan mendadak, perniagaan saya amat terkesan, bulan lalu saya telah meningkatkan harga jualan sebanyak 50 sen. Jadi, saya tidak tergamak lagi hendak menaikkan harga kerana kesian kepada pelanggan,” katanya yang merupakan seorang pesara swasta.
Sementara itu, seorang pengguna, Rozidah Amat, 60, pula terpaksa mengunjungi beberapa pasar raya berlainan semata-mata untuk mendapatkan bekalan minyak masak peket yang masih terdapat bantuan subsidi kerajaan.
“Saya memang sedang mencari minyak masak, tetapi sangat sukar nak jumpa minyak peket. Jadi, terpaksa juga beli minyak botol walaupun harganya mahal. Namun saya akan tetap berjimat kerana minyak botol tidak boleh dibeli selalu.
“Sebagai seorang suri rumah, memang saya banyak menghabiskan masa di dapur untuk memasak buat keluarga. Jadi, sekiranya harga minyak masak dapat dikembalikan seperti dahulu itu akan sangat membantu rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah,” katanya yang ditemani ibunya semasa mencari minyak masak. – UTUSAN










