LAPAN tahun lalu, Sinan Rauf Mohammad Fairuz mencipta sejarah tersendiri apabila muncul sebagai kanak-kanak autisme pertama di Malaysia yang berjaya menamatkan cabaran renangan sejauh satu kilometer di perairan terbuka di Pulau Redang.
Dia kemudian mencatat kejayaan lebih besar menerusi renangan sejauh tiga kilometer tanpa henti selama 90 minit di lokasi sama, meskipun berdepan ombak setinggi hampir dua meter.
Sejak itu, namanya terus menjadi inspirasi, khususnya kepada ibu bapa dan anak-anak yang berdepan situasi serupa.
Perjalanan bakatnya tidak terhenti di situ apabila dia mula meneroka dunia seni lukis pula pada 2019.
Sehingga kini, lebih 300 lukisan dihasilkan remaja autisme kategori ringan (mild) berusia 20 tahun ini.
Kebanyakan lukisannya berkisar tentang masjid, bunga, haiwan, pemandangan, abstrak dan alam benda.
Lebih membanggakan, lima daripada karya seninya turut terpilih dalam koleksi baju t, UT-me keluaran jenama Uniqlo pada 2021 dan 2023.

Ibunya, Nik Radim Razy Nik Ahmad Fakhrul Razy, 46, berkata, bakat melukis itu mula dicungkil pada 2019 apabila Sinan Rauf mengikuti kelas seni di bawah bimbingan Seeling Tan.
Tujuan utamanya dan suami hanyalah untuk mengisi masa lapang anak keduanya dengan aktiviti yang lebih berfaedah.
“Ketika itu bulan Ramadan dan kelas renang dihentikan seketika, jadi kami mengambil keputusan untuk menghantarnya belajar melukis, sekurang-kurangnya masanya terisi.
“Bila di kelas, kami nampak dia tenang ‘bermain’ dengan berus dan kanvas, seolah-olah begitu serasi dengan aktiviti itu,” katanya ketika ditemui dalam program Larian Autisme baru-baru ini.
Menurut Nik Radim Razy, kebolehan melukis anaknya itu mungkin lahir daripada latar belakang keluarganya yang berkait rapat dalam bidang seni bina dan perancangan bandar.
Apatah lagi, nama Sinan juga diinspirasikan daripada arkitek genius Empayar Uthmaniyah, Mimar Sinan.
Terdahulu, katanya, Sinan Rauf didiagnosis dengan autisme sejak berusia dua tahun.
Kecenderungan anaknya ialah bermain dengan straw yang sering dibawa ke mana-mana sebagai salah satu mekanisme penyesuaian diri.

Kaedah tiru guru
Sama seperti dalam sukan renang, pembelajaran remaja ini dalam seni lukis turut menggunakan kaedah meniru guru.
Kata Nik Radim Razy, cikgu akan menunjukkan teknik asas terlebih dahulu sebelum anaknya mengikut dan menirunya secara langsung.
Ujarnya, rutin melukis anaknya dijalankan dua kali seminggu iaitu pada Rabu dan Jumaat.
“Biasanya, cikgu akan membuat demonstrasi di sebelah menggunakan kertas lukisan biasa, manakala anak saya pula melukis di atas kanvas menggunakan cat akrilik.
“Selain itu, anak saya juga sukakan teknik pengulangan, contohnya, jika melukis garisan, dia akan mengulanginya berkali-kali, begitu juga dengan titik, sehinggalah terbentuk motif atau tema diingini,” kata ibu kepada empat cahaya mata ini.
Katanya, pemilihan topik atau subjek lukisan disesuaikan guru mengikut mood anaknya pada masa tersebut.
Selain di studio seni, jelasnya, Sinan Rauf turut melukis di pejabatnya dan sesekali di luar.
“Terbaharu, dia sedang mempelajari seni cat air dan karya seninya turut digunakan syarikat dalam penghasilan e-kad raya, kalendar dan lain-lain,” katanya.

Beg seni
Kebanyakan karya seni remaja ini disimpan oleh keluarga untuk kenang-kenangan walaupun terdapat permintaan untuk membelinya.
Justeru, timbul ilham untuk menterjemahkan lukisan tersebut kepada rekaan beg bagi membolehkan karya tersebut dimiliki komuniti peminat seni.
Nik Radim Razy berkata, idea itu datang daripada guru seni anaknya, sebelum usaha berkenaan dilaksanakan tahun lalu.
“Kami tidak pasti karya mana yang menjadi kegemarannya kerana dia seperti tidak tahu yang dirinya berbakat dalam lukisan.
“Namun, buat masa ini aktiviti yang paling digemarinya ialah menghantar pesanan beg kepada pembeli.
“Dia seronok berjumpa dan berinteraksi dengan pembeli walaupun komunikasi agak terhad,” katanya.
Sehingga kini, hampir 80 peratus beg tote dan pouch yang dihasilkan Sinan Rauf telah terjual.
Antaranya ialah daripada siri The Blue Mosque, Haghia Sophia Cat, Paddington on Winter Holiday, Arabian Nights, Dumbo Ready for Show, Candy Carousel dan Sunny Beach.

Peningkatan ketara
Selain terapi renang dan seni, remaja ini turut mengikuti terapi senaman serta kelas-kelas pembelajaran dengan ABA Therapy di bawah Early Autism Project (EAP).
Diikuti dengan kelas tahfiz dan fardu ain untuk anak-anak istimewa sejak usianya sembilan tahun.
Sebagai bapa, Mohammad Fairuz Mohd. Radi bersama isterinya berusaha memberikan yang terbaik demi masa depan Sinan Rauf.
“Walaupun terdapat cabaran dari semasa ke semasa, namun banyak perubahan positif dapat dilihat berbanding ketika dia masih kecil.
“Dia juga boleh mengerjakan lima rukun Islam dengan baik terutama solat lima waktu, berpuasa Ramadan, mengerjakan umrah dan lain-lain lagi,” katanya.

Baginya, Sinan Rauf merupakan anugerah terindah buat keluarga dan penyeri dalam kehidupan mereka.
Malah, kehadirannya mengeratkan lagi jalinan kasih sayang dan hubungan kekeluargaan.
“Setiap minggu, dia akan memastikan kami makan malam bersama di luar dan bercuti setahun sekali.
“Sinan sukakan kapal terbang dan aktiviti mengembara, bahkan dia mampu menghafal butiran penerbangan di seluruh dunia,” katanya.
Impian anaknya pada tahun ini adalah untuk menunaikan ibadah umrah bersama keluarga tersayang.










