Suami isteri direman kes tuntutan palsu Penjana Kerjaya RM1.18j - Utusan Malaysia

Suami isteri direman kes tuntutan palsu Penjana Kerjaya RM1.18j

KEDUA-DUA suspek diiring keluar anggota SPRM selepas perintah reman dikeluarkan Mahkamah Majistret, Ayer Keroh, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Sepasang suami isteri direman lima hari bermula hari ini selepas dipercayai mengemukakan tuntutan palsu di bawah dana insentif Program Penjana Kerjaya (Penjana Kerjaya) sebanyak RM1.18 juta, sejak dua tahun lalu.

Perintah reman sehingga 18 Julai itu dikeluarkan Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh terhadap kedua-dua suspek yang berusia 54 dan 49 tahun.

Tempoh tahanan reman itu dikeluarkan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen Kesalahan 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009.

Terdahulu, pasangan itu tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah, Ayer Keroh di sini pukul 9.50 pagi dengan hanya suspek lelaki memakai baju lokap SPRM berwarna jingga, manakala si isteri memakai baju kelabu.

Proses permohonan reman selesai kira-kira 30 minit kemudian.

Difahamkan pasangan itu ditahan pukul 5 petang semalam di Pejabat SPRM Melaka, Alai di sini selepas dipercayai terlibat dalam kegiatan mengemukakan tuntutan palsu di bawah dana Penjana Kerjaya berjumlah RM1,182,600.

Suspek yang merupakan pemilik sebuah syarikat di negeri ini disyaki melakukan kesalahan itu antara 2020 sehingga tahun ini.

Semalam akhbar melaporkan, SPRM dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) melancarkan operasi khas bagi menyiasat isu tuntutan palsu dan penyelewengan dana Penjana Kerjaya di beberapa negeri.

Operasi besar-besaran dikenali Op Hire berkenaan dikendalikan Ibu Pejabat SPRM bersama-sama SPRM negeri dan telah dijalankan secara serentak bermula semalam.

SPRM dengan kerjasama Perkeso telah membangunkan maklumat menerusi pemantauan dan risikan terhadap penerima dana bagi mengesan kegiatan majikan yang mengemukakan tuntutan palsu serta menyeleweng dana. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya