Tangki bahan kimia kilang kertas di AS meletup, 2 maut, 9 hilang - Utusan Malaysia

Tangki bahan kimia kilang kertas di AS meletup, 2 maut, 9 hilang

SEBUAH tangki bahan kimia meletup di Longview. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON:  Satu insiden bahan kimia di sebuah kilang kertas di barat laut Amerika Syarikat t(AS) elah mengorbankan dua orang, manakala sembilan lagi hilang dan dipercayai maut, menurut pihak berkuasa pada Rabu.

Sebuah tangki besar yang mengandungi lebih satu juta liter bahan sangat menghakis telah meletup pada Selasa di kilang di Longview, negeri Washington, mencetuskan operasi besar-besaran.

Dua mangsa telah disahkan maut dan usaha mencari serta menyelamat sembilan lagi yang belum ditemui kini telah dihentikan, kata Scott Goldstein dari pasukan penyelamat, Cowlitz 2 Fire & Rescue.

Selain angka kematian dan mangsa yang hilang, insiden tersebut turut menyebabkan sembilan individu lain mengalami kecederaan parah. 

Menurut Goldstein, kejadian di kilang penapis Nippon Dynawave Packaging Company itu berlaku ketika fasa pertukaran syif pekerja pada waktu awal pagi melibatkan sebuah tangki berkapasiti 3.4 juta liter yang sarat dengan cecair kimia jenis white liquor.

Bahan kimia cecair putih merupakan sebatian larutan alkali berkadar tinggi yang mengandungi natrium hidroksida dan natrium sulfida yang mana fungsinya digunakan dalam industri kertas untuk menghancurkan serpihan kayu bagi menghasilkan pulpa. 

Impak daripada kebocoran berskala besar itu bukan sahaja meragut nyawa. Malah, ia turut mengakibatkan kemusnahan teruk terhadap struktur bangunan, kenderaan dan peralatan kilang, selain menyukarkan pasukan bomba khas untuk mengakses kedudukan mangsa yang tertimbus.

Foto dari lokasi kejadian memaparkan struktur tangki gergasi terbabit berada dalam keadaan remuk sepenuhnya dan senget akibat tekanan letupan. 

Pihak berkuasa menganggarkan baki kira-kira 95,000 liter cecair masih terperangkap di dalam takungan rosak berkenaan namun berada dalam keadaan stabil sementara pelan luar jangka bagi proses pengosongan tangki diatur.

Gabenor Washington, Bob Ferguson melahirkan rasa dukacita yang mendalam dan menyifatkan insiden di bandar dengan 40,000 penduduk ini sebagai antara sejarah hitam industri paling buruk. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN