MB sembelih sendiri 25 lembu korban untuk penduduk Kuala Perlis - Utusan Malaysia

MB sembelih sendiri 25 lembu korban untuk penduduk Kuala Perlis

ABU Bakar Hamzah mengagihkan daging korban kepada penduduk bersempena program korban perdana DUN Kuala Perlis di Dataran Lok 9, Kuala Perlis hari ini.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Seawal pukul 7.30 pagi, Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah turun padang mengetuai proses penyembelihan 25 ekor lembu bersempena program korban perdana Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Perlis di Dataran Lok 9 di sini hari ini.

Pada majlis itu, Abu Bakar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis menyembelih sendiri 25 ekor lembu sebelum diagihkan kepada hampir 5,000 penduduk di kawasan tersebut.

Abu Bakar berkata, proses penyembelihan selesai kira-kira pukul 2 petang yang turut melibatkan kerjasama penduduk dari 36 buah kampung di Kuala Perlis.

Katanya, setiap penduduk diberikan kupon mendapat setengah kilogram daging korban.

“Sebanyak lima ekor lembu adalah daripada sumbangan kerajaan negeri manakala 20 ekor lagi hasil peruntukan yang saya usahakan sendiri demi manfaat penduduk di Kuala Perlis.

“Selain agihan daging korban, para petugas juga menyediakan makanan di sini bagi memeriahkan lagi program korban perdana ini,” katanya.

Katanya, sebelum ini, kerajaan negeri telah menyumbangkan 120 ekor lembu bersempena Aidiladha.

Beliau berkata, lembu tersebut masing-masing diagihkan kepada 15 ADUN, Ahli Parlimen, Senator, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) serta jabatan-jabatan negeri dan persekutuan.

“Setiap ADUN dan Ahli Parlimen antaranya menerima tiga ekor lembu dengan daging korban itu akan diagihkan kepada penduduk di kawasan masing-masing.

“Sumbangan itu turut diterima daripada anak syarikat kerajaan negeri dan pelbagai pihak sebagai tanda kebersamaan dan keprihatinan dalam menyemarakkan ibadah korban di Perlis,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN