Untung sebelum cukai IOI Properties naik kepada RM1.95 bilion

Untung sebelum cukai IOI Properties naik kepada RM1.95 bilion

THE Cube Plus @ Bandar Puteri Puchong yang 77 Unit yang telah dijual sepenuhnya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: IOI Properties Group Berhad (IOIPG) mencatatkan peningkatan lebih empat kali ganda keuntungan sebelum cukai (PBT) kepada RM1.95 bilion  bagi sembilan bulan pertama tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026, berbanding RM430.9 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya. 

Prestasi kukuh itu terutamanya disumbang oleh keuntungan nilai saksama hartanah pelaburan serta keuntungan pengukuran semula South Beach masing-masing berjumlah RM567.1 juta dan RM502.8 juta. 

Pemaju hartanah berkata, tidak termasuk item luar biasa tersebut, PBT asas kumpulan meningkat 88 peratus kepada RM878.6 juta, disokong sumbangan lebih tinggi daripada semua segmen.

Bagi tempoh sama, hasil kumpulan naik sebanyak 41 peratus kepada RM3.06 bilion, berbanding RM2.17 bilion dalam tempoh sama tahun kewangan 2025, didorong oleh prestasi mantap ketiga-tiga segmen teras perniagaannya.

Jelasnya, segmen pembangunan hartanah, pelaburan hartanah serta hospitaliti dan riadah masing-masing merekodkan pertumbuhan memberangsangkan sebanyak 28 peratus, 41 peratus dan 83 peratus

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IOIPG, Datuk Lee Yeow Seng berkata, keputusan itu mencerminkan keberkesanan strategi kumpulan dalam mengimbangi portfolio hasil serta memanfaatkan permintaan sektor perindustrian, meskipun berdepan persekitaran ekonomi global yang mencabar dan ketegangan geopolitik berterusan.

“Melangkah ke hadapan, segmen pelaburan hartanah dijangka meneruskan trajektori pertumbuhan positif, disokong peningkatan kadar penghunian fizikal di IOI Central Boulevard Towers dan South Beach Tower. 

“Seiring itu, portfolio pendapatan berulang kumpulan berkembang dengan ketara dan kini menghampiri skala segmen pembangunan hartanah selepas kemasukan Asia Square Tower 2 (AST2), sekali gus mengukuhkan kestabilan pendapatan dan meningkatkan daya tahan dalam keadaan ketidaktentuan pasaran.

“Melengkapi pertumbuhan segmen pelaburan hartanah, penawaran produk kumpulan yang pelbagai di tiga negara, prospek positif segmen hospitaliti dan riadah serta kadar faedah yang menggalakkan dijangka menjadi asas kukuh kepada pertumbuhan pendapatan mampan bagi suku keempat tahun kewangan ini,” katanya dalam kenyataan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN