GEORGETOWN: Terminal Swettenham Pier Cruise (SPCT) akan menerima persinggahan kapal persiaran yang seterusnya esok, selepas kapal Spectrum of the Seas singgah di situ Sabtu lalu, susulan pembukaan kembali aktiviti pelayaran domestik dan pelayaran antarabangsa.
Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP), Datuk Tan Teik Cheng berkata, kapal persiaran Genting Dream yang dimiliki Resort World Cruises berlabuh di SPCT, seawal pukul 8 pagi esok.
“Esok, Pulau Pinang akan menyaksikan dua buah kapal persiaran berlabuh di SPCT yang mana kapal-kapal tersebut adalah Spectrum of the Seas dan Genting Dream,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sabtu lalu, SPCT menerima persinggahan kapal persiaran antarabangsa yang pertama setelah kira-kira dua tahun aktiviti pelayaran antarabangsa dihentikan di Malaysia susulan daripada penularan wabak Covid-19.
Kapal Spectrum of The Seas milik Royal Carribean Cruises Ltd. (RCCL) yang membawa 3,239 penumpang dan 1,577 kru kapal berlabuh di SPCT, kira-kira pukul 8 pagi.
Menurut Teik Cheng, kapal Genting Dream akan membawa seramai 3,325 penumpang manakala Spectrum of the Seas akan membawa 3,327 penumpang.
”Kemasukan 6,652 pelancong ini ke Pulau Pinang merancakkan lagi industri pelancongan dan usaha memulihkan ekonomi negeri dan negara dapat dilaksanakan dengan lebih cepat,” katanya.
Beliau yakin kesiapsiagaan SPCT untuk menerima persinggahan kapal Genting Dream adalah pada tahap yang baik berdasarkan persediaan dan pengalaman semasa menyambut ketibaan kapal persiaran Spectrum of The Sea pada Sabtu lalu. – UTUSAN










