Sindiket Macau Scam lebih cerdik daripada profesional

Sindiket Macau Scam lebih cerdik daripada profesional

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sindiket Macau Scam lebih bijak daripada mang­sanya apabila semakin ramai profesional seperti peguam, doktor, guru, dan pegawai diplomatik turut tidak terke­cuali menjadi mangsa jenayah siber itu.

Bekas pesara kerajaan yang pernah memegang beberapa jawatan penting di kementerian turut terpedaya dengan modus operandi Macau Scam sehingga duit simpanan RM75,000 lesap dalam beberapa minit sahaja. Duit tersebut simpanan 50 tahun untuk hari tuanya.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, wanita bergelar Datin berusia 75 tahun itu menceritakan pengalamannya dihubungi dan diperdaya penjenayah siber.

Ceritanya, kejadian itu berlaku pada 10 Mac lalu apabila beliau mulanya menerima panggilan daripada seorang individu yang memperkenalkan diri sebagai pegawai Telekom Malaysia (TM).

Panggilan itu kemudian di­sambung ke Ibu pejabat Polis Daerah Kota Bharu yang kemudian dijawab seorang lelaki yang mempekenalkan diri sebagai Inspektor memaklumkan pihak polis melakukan tangkapan terhadap penjenayah yang menggunakan akaun Public Bank didakwa miliknya.

Kata Datin itu, belum sempat beliau bertanya lanjut, panggilan itu disambung kepada pegawai berpangkat Asisten Komisioner (ACP).

“Ketika bercakap dengan pegawai itu, saya menafikan mem­punyai akaun Public Bank. Ketika itu dia meminta saya tidak memberitahu sesiapa termasuk ahli keluarga kerana kes dikaitkan dengan saya adalah penjenayah berbahaya.

“Jika tidak memberi kerjasama, ACP itu mengugut saya boleh didakwa melanggar Akta Rahsia Rasmi 1972,” katanya.

Sepanjang perbualan dengan pegawai itu, Datin memberi­tahu, penjenayah yang menya­lahkan guna identiti dirinya ter­libat dalam pengubahan wang ha­ram, dadah dan senjata api.

Selepas beberapa minit bercakap dengan pegawai itu, Datin itu berkata, ACP itu mendakwa kononnya menghubungi ke Ibu pejabat Polis Bukit Aman dan bercakap dengan pegawai di sana bagi mendapatkan menyakinkan kononnya terdapat penjenayah menggunakan akaun bank saya.

“Saya mendengar perbualan dia serta pegawai yang didakwa dari Bukit Aman itu sebelum memaklumkan akan menghubungi saya esok untuk proses selanjutnya.

Kata Datin itu, pada pukul 3.30 petang keesokan harinya, dia mendapat panggilan daripada pegawai yang menyambungkan kepada seorang wanita kononnya pegawai Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bank Negara.

“Dia menemu bual saya sebelum memujuk memberikan semua maklumat bank. Dia bercakap sangat lembut, selain menyebut nama saya setiap kali bercakap.

“Dia memaklumkan akan ada empat mesej masuk lalu me­minta fokus kepada nombor untuk diberi kepadanya. Wanita itu turut meminta saya untuk memadamkan kesemua mesej tersebut malah turut menenangkan saya agar tidur secukupnya dan beriadah.

“Sepanjang panggilan itu saya bagaikan dipukau sehingga mengikut semua arahan pegawai wanita itu,” ceritanya.

Katanya, beliau hanya ter­sedar ditipu lapan jam kemudian sebelum menghubungi beberapa kenalan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mengesahkan itu merupakan panggilan penipuan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.